Warga emas beri sokongan padu kepada BN

0

SIBU: Menyedari hanya kerajaan Barisan Nasional (BN) dapat memberikan pembangunan dan kemajuan kepada rakyat, seorang pengundi warga emas dari Batu Burak menyuarakan sokongan padunya kepada calon BN bagi kerusi Parlimen Sibu.

Pengundi warga emas terbabit, Luman Padan, 80-an, dari Rumah Rose memberitahu, beliau tidak pernah mengundi calon lain selain calon BN setiap kali pilihan raya.

“Saya tidak pernah mengundi calon lain selain BN. Oleh itu, saya sering menasihati pengundi muda agar menyokong calon BN.

“Namun, jika mereka (pengundi muda) tidak mahu mendengar nasihat, itu hak mereka. “Kami pengundi tua akan tetap dan terus setia bersama BN,” katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Luman berkata demikian ketika ditemui di Rumah Rose, Batu Burak semasa menyambut kunjungan calon BN bagi Parlimen Sibu Vincent Lau yang berkempen ke semua rumah panjang di Batu Burak, Tanjung Penasu dan Seduan Jaya, kelmarin.

Turut sama Menteri Kewangan Kedua merangkap ADUN Bawang Assan Dato Sri Wong Soon Koh, Setiausaha Politik Ketua Menteri Andrew Shilling Bangit, Pemanca Stanley Geramong serta yang lain.

Menurut Luman, hanya kerajaan BN dapat memberikan pembangunan dan kemajuan kepada rakyat, khususnya di rumah-rumah panjang.

“Kerana bantuan daripada kerajaan, kami di sini telah menikmati kemudahan bekalan elektrik, air dan jalan raya,” katanya sambil berterima kasih kepada kerajaan.

Sementara menurut Braoh Kuda dari Rumah Stanley, kerajaan memberikan bantuan dan subsidi kepada setiap rakyat sejak mereka lahir atau melangkah ke alam persekolahan.

Katanya, kerajaan telah membelanjakan berbilon-bilion ringgit bagi memberi bantuan dan subsidi kepada rakyat setiap tahun untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

“Justeru, tidak ada sebab mengapa kita tidak menyokong kerajaan BN,” ujarnya yang juga timbalan tuai rumah.

Bagi Tuai Rumah Dieo Kanyan pula, beliau meminta semua rakyat khususnya di Tanjung Penasu agar memberikan sokongan 100 peratus kepada kerajaan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini.

“Berikan sokongan 100 peratus kepada kerajaan BN dan bukannya 80 atau 90 peratus.

“Ini kerana kerajaan telah terbukti banyak memberi pembangunan,” jelasnya.

Menurut Dieo, jika pembangkang menang di kerusi Parlimen Sibu, kerajan BN tetap membentuk kerajaan dan ini satu kerugian kepada rakyat di sini.

“Sehubungan itu, kita harus kekal dengan kerajaan BN yang telah memerintah negara ini sejak lebih 55 tahun,” katanya.