Bomba rancang bina pangkalan udara di Kuching

0

SEGAK: Mahadi melakukan pemeriksaan barisan ke atas para pelatih tamat latihan Kursus Sijil Sains Kebombaan Siri 1/2012 di Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya di Kuching, semalam. — Gambar Chimon Upon

KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia merancang untuk membina sebuah pangkalan udara di Sarawak dan Sabah sebagai tambahan kepada dua pangkalan sedia ada di Subang dan Pulau Pinang.

Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Mahadi Md Ali pada sidang media di Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya di sini, semalam.

Menurut Mahadi, rancangan untuk membina pangkalan udara berkenaan akan dikemukakan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), selepas kekangan dari segi peruntukan untuk dilaksanakan di bawah RMK10.

“Rancangan untuk membina pangkalan udara bagi Jabatan Bomba dan Penyelamat di negeri ini memang ada dan akan kita bawa dalam RMK11 di mana kita telah mencadangkan lokasinya di Kuching.

“Kita harap pembinaan pangkalan udara baharu itu nanti akan memperkuatkan jentera kita dalam usaha membantu dan menyelamatkan harta dan orang awam di negeri ini,” kata Mahadi sambil menambah, terdapat tujuh pesawat bomba dan penyelamat di seluruh negara bagi tujuan itu.

Terdahulu, Mahadi merasmikan Majlis Tamat Latihan Kursus Sains Kebombaan Siri 1/2012 sekali gus menyampaikan Anugerah Pelatih Terbaik kepada tiga penerima bagi kategori Anugerah Pelatih Terbaik Keseluruhan, Praktikal dan Teori.

Anugerah Pelatih Terbaik Keseluruhan diterima oleh Kho Guan Hui, 37, dari Lundu, manakala Anugerah Pelatih Terbaik Praktikal dan Teori masing-masing diraih oleh Azwan Bujang Si, 20, dari Kuching dan Stephen Anthony, 23, dari Tambunan, Sabah.

Dalam ucapannya, Mahadi berkata, para pelatih seramai 101 orang yang berjaya menamatkan latihan semalam bakal memulakan kehidupan sebenar sebagai pegawai bomba.

Beliau berkata, sungguhpun latihan selama empat bulan setengah di akademi telah melengkapkan pelatih dengan pelbagai aspek kehidupan sebagai pegawai bomba, namun latihan dan ujian sebenar berada di luar sana.

“Sesungguhnya realiti di luar sana adalah jelas lebih mencabar dan lebih ganas daripada kehidupan di akademi.

Di luar sanalah medan yang sebenar.

Hanya mereka yang benar-benar tabah, berminat dan berani akan sampai ke kemuncak kejayaan,” ujarnya.

Majlis Tamat Latihan kali ini disertai seramai 101 Pegawai Bomba Gred KB17.

Ia merupakan acara tradisi dan kemuncak bagi para pelatih Kursus Sijil Sains dan Kebombaan yang diadakan sebagai tanda berakhirnya kursus dan persediaan pelatih ke alam kerjaya.

Sepanjang tempoh kursus, para pegawai itu diberi pendedahan dengan ilmu dan kemahiran kebombaan meliputi aspek teori dan praktikal seperti kawat kaki, kawat operasi, operasi kebombaan, pengurusan kebombaan, penyelamatan, keselamatan kebakaran, penyiasatan kebakaran, alat pernafasan, mencari dan menyelamat dan kejuruteraan kebombaan.

Turut hadir Penolong Ketua Pengarah Bahagian Latihan Mohamad Hamdan Wahib, Komandan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Mohamad Fauzi Mohamat Kifli dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Sarawak Nor Hisham Mohammad.