Najib kesal letupan bom berlaku di Pulau Pinang

0

KENINGAU: Datuk Seri Najib Tun Razak kesal dengan kejadian letupan bom yang berlaku di Pulau Pinang malam kelmarin dan menyifatkan perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis bersama rakyat di Kompleks Sukan Keningau di sini, Perdana Menteri berkata semua parti telah dinasihat agar sentiasa menjaga tatatertib dan mematuhi undang-undang sepanjang tempoh berkempen.

“Sepatutnya semua bersaing secara sihat dan menunjukkan amalan demokrasi,” katanya.

Kelmarin, ceramah anjuran Barisan Nasional (BN) Nibong Tebal dicemari insiden letupan yang berlaku di belakang pentas bilik gerakan parti itu semasa Pengerusi GERAKAN Pulau Pinang Datuk Dr Teng Hock Nan menyampaikan ceramah.

Kejadian itu menyebabkan seorang petugas keselamatan cedera di kaki kanan.

Sambil memandang serius perkara itu, Najib berharap semua pihak khususnya parti-parti politik yang bertanding memainkan peranan supaya kejadian seumpama itu tidak berulang. — Bernama