Saturday, September 19

Penyokong parti politik cedera dipukul pihak lawan

0

KUALA TERENGGANU: Seorang penyokong parti politik cedera setelah diserang sekumpulan penyokong parti lawan dalam kejadian di Simpang 3 Pekan Dungun, malam kelmarin.

Jurucakap Pilihan Raya Polis Kontinjen Terengganu Supt Koh Ah Tiam berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam sekumpulan pasukan pemantau pilihan raya menurunkan bendera salah sebuah parti yang dipasang di kawasan berkenaan kerana menghalang lalu lintas.

Koh berkata, tindakan itu menyebabkan berlaku salah faham dan mencetuskan kemarahan penyokong parti berkenaan sebelum mereka turut menurunkan bendera parti lawan.

Katanya, berikutan itu berlaku pertelingkahan dan pertikaman lidah di antara petugas kedua-dua parti politik tersebut sebelum mereka bertindak agresif dan satu pihak menyerang dan memukul mangsa.

“Ekoran kejadian itu mangsa yang berusia 57 tahun itu cedera di bahagian kepala dan badan dan kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.

Bercakap kepada pemberita di sini semalam, Koh meminta mereka yang terlibat dalam insiden pergaduhan ini dan saksi tampil di balai polis berdekatan dengan segera untuk membantu siasatan. — Bernama