Tahan azab tiga jam dicacak dart

0

MENGERIKAN: Kepala mangsa yang ditikam dengan buah dart dalam pergaduhan di sebuah sekolah di Limbang, pagi semalam.

LIMBANG: Seorang pela­jar yang bakal mendudu­ki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di sebuah sekolah menengah di sini dipercayai menikam kepala seorang lagi pela­jar sekolah sama meng­gunakan buah dart dalam satu pergaduhan, awal pagi semalam.

Akibat kejadian pada jam 6.30 pagi itu, mangsa yang juga pelajar tingkatan tiga terpaksa dirujuk ke Hospital Miri dengan keadaan buah dart yang masih tercacak lebih seinci di kepalanya.

Kejadian menggemparkan itu menyebabkan mangsa yang pada mulanya dihantar ke Hospital Limbang terpaksa menahan azab kesakitan selama tiga jam sepanjang perjalanan menggunakan ambulans ke Hospital Miri, pagi semalam.

Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku selepas mangsa secara tidak sengaja terlanggar bahu dengan sus­pek menyebabkan suspek tidak puas hati sehingga men­cetuskan pergaduhan.

Ketua Polis Daerah Lim­bang Superintenden Mohd Bukhori Saffai ketika di­hubungi Utusan Borneo se­malam mengesahkan kejadian terbabit dan berkata mangsa diserang tiga pelajar lain se­lepas perhimpunan sekolah pagi semalam.

“Laporan dibuat oleh pihak sekolah sekitar jam 8.30 pagi dan kes terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menda­tangkan kecederaan meng­gunakan senjata,” katanya.

Sementara itu dalam kejadi­an berasingan, Mohd Bukhori berkata polis Limbang mena­han seorang bapa berusia 37 tahun petang kelmarin selepas dipercayai merogol anak kandungnya sendiri sejak tiga tahun lepas.

Menurut beliau, perbuatan durjana itu terbongkar apabila mangsa yang kini berusia 14 tahun dan tidak bersekolah, melarikan diri selepas dirogol suspek yang pergi ke bandar dipercayai untuk mendap­atkan bekalan dadah, pagi kelmarin.

Tindakan berani itu di­lakukan kerana mangsa sudah tidak sanggup lagi dijadikan tempat ayahnya melepaskan nafsu serakah sejak dia berusia 12 tahun, katanya.

“Peluang tersebut diambil mangsa untuk keluar ke jalan besar sambil menahan sebuah kereta yang kebetulan melalui jalan tersebut.

“Mangsa yang panik segera menceritakan kejadian tersebut kepada pemandu kereta yang ditumpanginya,” katanya.

Menurutnya lagi, pemandu terbabit terus membawa mangsa ke Balai Polis Bam­bangan untuk membuat laporan polis sebelum dirujuk ke Hospital Limbang.

“Semasa mendapatkan rawatan di hospital, suspek yang berusia 37 tahun dan tidak bekerja itu telah datang untuk melawat anaknya.

“Sepasukan anggota polis diketuai oleh Ketua Bahagian Siasatan Jenayah ASP Roslan Leman telah menahan suspek dan hasil saringan air kenc­ing, suspek didapati positif dadah jenis syabu,” katanya lagi.

Mohd Bukhori berkata, mangsa telah dirujuk ke Hos­pital Miri, manakala suspek yang ditahan akan direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.