‘Tuhan Harun’ tidak mengaku bersalah sebar ajaran sesat

0

AJARAN SESAT: Harun yang digelar ‘Tuhan Harun’ dibawa ke Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan di Kuantan atas tuduhan mengamalkan ajaran bercanggah dengan syariat Islam. — Gambar Bernama

KUANTAN: Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan semalam menetapkan 2 hingga 4 Julai depan untuk perbicaraan ‘Tuhan Harun’ atau Harun Mat Saad, 47, yang dituduh mengamalkan ajaran bercanggah dengan syariat Islam.

Harun yang hadir di mahkamah dengan pakaian seragam lokap polis berwarna ungu mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohd Yusof Ab Ghani atas pertuduhan mengamalkan ajaran sesat sejak Feb lepas.

Harun dalam menyebar ajaran tersebut mengaku dirinya sebagai Tuhan Harun atau Tuhan 2013 di sebuah premis di Lorong Pandan Damai, dekat sini antara Februari lalu hingga 4 April lalu.

Tertuduh didakwa melakukan jenayah tersebut di bawah Seksyen 162 (1) Enakmen Pentadbiran Ugama Islam & Adat Resam Melayu Pahang 1982 yang boleh membawa hukuman denda RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan dua orang penjamin.

Sementara itu, di Mahkamah Rendah Syariah, tertuduh juga mengaku tidak bersalah terhadap 10 pertuduhan berkaitan.

Antara tuduhan itu membabitkan penyebaran ajaran sesat, risalah dan buku bagi tujuan sama.

Tertuduh juga didakwa mencetak, menerbit dan menyimpan dokumen ‘Harun Tuhan 2013’ dipercayai dengan niat untuk diedarkan kepada orang ramai bertujuan mengeliru atau memesong pemahaman Islam sebenar.

Harun boleh dihukum denda RM2,000 atau setahun penjara atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Abdul Wahid Md Ali membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM15,000 bersama dua penjamin dan menetapkan 20 dan 21 Ogos depan bagi perbicaraan kes itu. — Bernama