Cukai pintu rumah kawasan pedalaman dimansuh: Baru

0

KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak akan memansuhkan pembayaran cukai pintu yang dikenakan ke atas rumah kampung yang terletak di pedalaman negeri ini sekiranya Pakatan Rakyat (PR) diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini.

Perkara itu ditegaskan Pengerusinya, Baru Bian yang juga calon PKR bagi kerusi Parlimen Limbang.

Beliau memberitahu, pengecualian pembayaran cukai tersebut ekoran penduduk kampung di pedalaman tidak mempunyai kemudahan lampu jalan, perkhidmatan dari pihak berkuasa tempat (PBT) seperti sistem kutipan sampah dan sebagainya.

“Setiap rumah panjang di pedalaman yang ada di kawasan Parlimen Limbang ini dikenakan bayaran cukai pintu padahal mereka tidak menerima mana-mana perkhidmatan daripada pengutipan sampah atau kemudahan lampu jalan.

“Jadi, apa yang saya lihat cukai pintu ini perlu dimansuhkan, oleh itu saya berjanji ia pasti ditunaikan jika rakyat memilih PR pada PRU13 ini,” katanya.

Beliau berkarta demikian secara langsung menerusi laman sosial Skype yang disiarkan di Ibu Pejabat PKR Negeri di sini semalam.

Pada masa sama, Baru berkata, beliau turut prihatin terhadap masalah penjaja di kawasan Limbang kerana tidak mempunyai kawasan berniaga yang tetap.

“Mereka (penjaja) terpaksa menjalankan urus niaga di tepi jalan, di tempat sementara kerana tiada kemudahan tempat penjaja disediakan untuk mereka.

“Oleh itu, jika rakyat memilih saya pada pilihan raya ini, masalah ini akan saya atasi,” tambahnya.

Menyentuh mengenai lawatan Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Alfred Jabu Numpang yang akan mengadakan lawatan ke kawasan itu, Baru menegaskan PKR sudah bersedia untuk menyambut kedatangan Jabu ke situ.

“Kita sudah bersedia untuk menyambut beliau (Jabu) bagi menepis tohmahan dan dakwaan BN terhadap PKR di situ nanti,” ujarnya.