Wednesday, February 19

34 anggota PKR bertanding Bebas dipecat

0

KUALA LUMPUR: Seramai 34 anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertanding sebagai calon Bebas dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dipecat daripada parti itu.

Naib Presiden PKR Chua Tian Chang atau Tian Chua berkata tindakan itu diambil selepas mereka gagal menarik diri daripada bertanding dan memohon maaf kepada PKR setelah parti pembangkang itu memberi mereka tempoh sehingga jam 5 petang pada Khamis lepas.

Beliau memberitahu Bernama bahawa kesemua anggota itu merupakan pemimpin peringkat cabang.

“Mengikut perlembagaan parti pun, kalau ada anggota yang masuk parti lain atau menentang parti, automatik akan kena pecat tetapi kita beri amaran dan tempoh untuk memohon maaf.

“Namun sehingga jam 5 petang Khamis lepas, tiada sebarang respons daripada anggota-anggota ini. Selepas ini, mereka akan diberikan surat pemecatan,” katanya.

Sebelum ini, Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memberi tempoh berkenaan kepada anggota PKR yang bertanding sebagai calon Bebas untuk memohon maaf dan menarik diri daripada bertanding.

Kepada satu soalan, Tian Chua menjawab: “Saya mana tahu sebab apa mereka hendak jadi calon Bebas. Tidak puas hati ke, apa ke, itu pergi tanya merekalah.

“Tapi apa yang pasti, tindakan mereka menunjukkan tidak ada disiplin dalam parti dan melanggar disiplin parti dan oleh itu mereka harus dipecat,” katanya. — Bernama

#myvote13 #ge13