806 pemilik NCR program SALCRA terima surat hak milik tanah

1

GAZET: Jabu menyampaikan gazet tanah kepada ketua masyarakat sambil disaksikan oleh tetamu kehormat lain di Saratok semalam.

SARATOK: Seramai 806 pemilik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang menyertai program penanaman kelapa sawit diusahakan oleh SALCRA dari kawasan Parlimen Saratok menerima surat hak milik tanah, semalam.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata jumlah tersebut merangkumi tanah seluas 1,878 hektar.

“Dahulu, usaha kerajaan menubuhkan SALCRA bukanlah sesuatu mudah untuk direalisasikan.

“Sejak diperkenalkan, pelbagai speklulasi timbul daripada usaha tersebut termasuk tuduhan mengatakan itu adalah langkah pertama kerajaan untuk merampas tanah rakyat.

“Namun usaha tersebut telah membuktikan bahawa ia mempunyai banyak manfaat dan memberi kesan positif kepada masyarakat setempat dan negeri ini sekali gus menepis dakwaan pihak tertentu yang memberi pandangan negatif terhadap usaha tersebut.

“SALCRA juga adalah perintis dan penyumbang utama kepada perkembangan industri tanaman kelapa sawit di negeri ini,” katanya  pada Majlis Penyampaian Surat Hak Milik Tanah kepada peserta SALCRA Wilayah Saratok dan Penyerahan Gazet Di Bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri Bahagian Betong, semalam.

Jabu berkata, selain menyumbang kepada pendapatan negara SALCRA turut memberi impak kepada peningkatan taraf sosioekonomi masyarakat setempat.

Majlis itu berlangsung di Dewan SALCRA Karangan, Saratok yang turut dihadiri sekitar 1,000 orang terdiri daripada peserta program SALCRA.

Beliau berkata penubuhan SALCRA telah banyak membuka peluang dan ruang kepada masyarakat setempat dalam beberapa aspek.

“Antara yang paling jelas ialah melalui kewujudan SALCRA di kawasan ini telah memberi banyak peluang pekerjaan kepada penduduk, di samping memberi pulangan hasil melalui pemberian dividen.

“Ini membuktikan bahawa usaha kerajaan memajukan tanah terbiar milik kaum Bumiputera melalui konsep dan kerjasama dengan SALCRA, sejak berpuluh-puluh tahun lalu memberi kesan positif yang memberangsangkan.

“Ia juga membuktikan dakwaan pembangkang yang kerap mengutuk usaha pembangunan tanah dilakukan kerajaan dengan pelbagai pandangan dan persepsi negatif adalah tuduhan palsu dan tidak berasas,” tegasnya.

Menurut Jabu, di Sarawak kini SALCRA telah berjaya memajukan lebih 20,000 tanah NCR penduduk.

“Semua itu merangkumi 19 estet SALCRA. Selain memajukan tanah terbabit SALCRA turut memberi geran kepada pemilik tanah terbabit secara percuma dan yang berstatus pemilikkan seumur hidup,” ujarnya

Hadir sama calon BN Parlimen Saratok Tan Sri William Mawan Ikom, Menteri Muda Kemajuan Tanah Datuk Abdul Wahab Aziz, Pengurus Besar SALCRA Datuk Vasco Sabat Singkang, Residen Betong Datu Romi Sigan Daniel dan Penguasa Tanah dan Survei Betong Anthony Aboi.