Kerajaan komited beri pelbagai insentif termasuk kepada kontraktor Bumiputera

0

KUCHING: Kerajaan komited dalam memberi bantuan kepada semua lapisan masyarakat dengan memberikan pelbagai bentuk insentif termasuk kepada kontraktor Bumiputera, yang merupakan penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof  berkata untuk bidang pembinaan, kerajaan tidak terkecuali memberikan pelbagai pendekatan atau kaedah bagi membantu golongan kontraktor menjalankan perniagaan.

“Misalnya dalam memberi projek, kerajaan bukan sahaja menyediakan tender, sebut harga dan sebagainya malah kini bagi membantu kontraktor Bumiputera mereka diberi peluang secara cabut undi untuk merebut tender.

“Ini bagi memberi peluang kepada semua kontraktor Bumiputera agar semua mereka berpeluang mendapat projek secara bergilir-gilir,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Asas Pemahaman Taraf Bumiputera anjuran Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) dengan kerjasama Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) di sini, semalam.

Menurut Fadillah, malah kerajaan menyediakan banyak peluang serta projek kepada kontraktor termasuk Kelas F, yang perlu direbut agar sama berdaya saing dengan yang lain.

Tambah calon BN Petra Jaya itu, malah kini banyak projek-projek yang akan mula dilaksanakan termasuk pembinaan jalan dan jambatan khasnya di kawasan Petra Jaya, bermula pada tahun ini.

“Ini peluang untuk anda semua, cuma kontraktor kita perlu membuktikan rekod mereka yang baik, pengurusan projek yang baik selain rangkaian kerjasama dengan klien anda agar mendapat kepercayaan,” tegasnya.

Fadillah pada masa yang sama mengingatkan kepada kontraktor Bumiputera khasnya Kelas F supaya tidak menyalahgunakan projek dengan memberi projek secara subkontraktor kepada pihak tertentu.

“Jika anda memainkan peranan hanya untuk memberi subkontraktor kepada pihak lain, ia akan mengundang risiko termasuk perundangan dan sebagainya.

“Maka itu kita mahu kontraktor Bumiputera khasnya belajar meyakinkan diri dan menyiapkan projek anda mengikut yang dijadualkan atau awal kerana kelewatan projek juga mendatangkan rugi kepada anda,” katanya.

Majlis turut dihadiri Ketua Pengarah PKK Kementerian Kerja Raya Yahaya Hasan, Presiden PKMM Datuk Mokhtar Samad dan Yang Dipertua PKMM Cawangan Sarawak Abang Naseer Abang Hamkah.

Seminar sehari itu turut dihadiri hampir 100 peserta terdiri daripada kebanyakan ahli persatuan di  seluruh negeri.