PKR terus perjuang isu tanah NCR

2

KUCHING: Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Parlimen Limbang Baru Bian menegaskan bahawa pakatan pembangkang khususnya PKR akan terus memperjuangkan isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) tanpa perlu dipersoalkan oleh sesiapa.

Menurutnya, dakwaan bahawa pakatan pembangkang tidak akan melindungi tanah NCR adalah tidak benar dengan mengambil kira kes isu tanah yang dikendalikan menerusi firma guamannya sahaja merekodkan lebih 200 fail.

Perkara itu terus diperkukuhkan lagi dengan tidak ada seorang pun pemimpin PKR atau dalam pakatan pembangkang negeri ini yang pernah dikenakan saman atau tindakan undang-undang berhubung isu tanah.

“Kontrak sosial saya dengan rakyat Sarawak adalah untuk melindungi apa hak mereka, kehidupan mereka dan jangan ada sesiapa pun mengatakan yang sebaliknya,” katanya pada sidang media, di ibu pejabat PKR Negeri di sini, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri James Masing dalam Utusan Borneo semalam yang mengatakan bahawa masyarakat Dayak akan hilang tanah NCR jika tidak undi Barisan Nasional (BN) kerana tidak ada tanah NCR dilabelkan jika pembangkang membentuk kerajaan baharu dan melaksanakan konsep ‘Malaysian Malaysia’.