Seorang maut dan seorang parah selepas kenderaan jatuh gaung

0

BINTULU: Seorang maut dan seorang lagi mengalami kecederaan parah dalam kemalangan di Kilometer 34 Jalan Tatau-Bintulu sekitar jam 10.30 pagi semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu Dihata Gobel ketika dihubungi berkata pihaknya menerima maklumat daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu sekitar jam 10.36 pagi dan segera menghantar anggota ke lokasi kejadian bagi menyelamatkan mangsa.

“Setibanya di lokasi kejadian, kami mendapati kenderaan pacuan empat roda digunakan mangsa jatuh ke dalam gaung yang kemungkinannya akibat hilang kawalan berdasarkan pemerhatian awal kami,” katanya.

Menurut sumber, kenderaan yang dinaiki dua lelaki dalam lingkungan umur 30-an dari Tatau menuju ke Bintulu itu kelihatannya meluru dengan laju sebelum terjatuh ke dalam gaung.

Katanya ketika tiba di lokasi kejadian, seorang lagi mangsa sudah dikejarkan oleh ambulans ke Hospital Bintulu manakala seorang mangsa masih tersepit dalam kenderaan terbabit.

“Pihak kami segera mengeluarkan mangsa berkenaan serta memberi bantuan kecemasan sebelum dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.