Demak Laut dikenal pasti tapak pusat pengeluaran Coca-Cola

0

KUCHING: Zon Perindustrian Demak Laut di sini dikenal pasti sebagai tapak yang sesuai untuk menempatkan pusat pengeluaran syarikat pengeluar minuman terkemuka, Coca-Cola di Sarawak.

Menurut Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah, syarikat itu memilih untuk mewujudkan kilang di tapak berdekatan dengan pelabuhan kerana ia bukan sahaja akan mengeluarkan produk minuman itu untuk Sarawak, malah untuk pasaran Sabah, Brunei dan Indonesia.

“Wakil dari Coca-Cola membuat kunjungan hormat pada minggu lepas dan menyatakan hasrat untuk melabur di sini.

“Salah satu syaratnya adalah tapak kilang mesti berdekatan dengan pelabuhan, dan kawasan berhampiran Pelabuhan Senari adalah paling sesuai,” ujarnya ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Dewan Baharu di Kampung Senari di sini, semalam.

Awang Tengah yang juga Menteri Kemudahan Awam berkata, kawasan perindustrian itu amat sesuai memandangkan Pelabuhan Senari merupakan pelabuhan terbesar di negeri ini.

Beliau turut mengumumkan kerja-kerja penyukatan tanah akan dijalankan tidak lama lagi di beberapa buah kampung, dan Kampung Senari akan diberikan keutamaan.

Kampung Senari mempunyai 1,200 penduduk dan 472 orang daripadanya berdaftar sebagai pengundi.

Sementara itu, Awang Tengah yang juga Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yakin parti yang merupakan tulang belakang Barisan Nasional (BN) Sarawak itu mampu menang di kesemua kerusi dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini.

“Saya yakin kita mampu menang 100 peratus pada PRU kali ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu.

Sarawak mempunyai 31 kerusi Parlimen dan 14 daripadanya diperuntukkan kepada PBB.

Menurut beliau, BN negeri khususnya PBB menampilkan muka-muka baharu pada PRU13 ini agar barisan kepimpinan negeri terus mempunyai nafas baharu dalam menjalankan agenda pembangunan.

Justeru, PRU13 amat penting bagi memastikan pelanpelan pembangunan yang dirancang selama ini dapat diteruskan, katanya.

“Jangan pandang rendah PRU kali ini kerana ia akan menentukan kerajaan di peringkat persekutuan.

“Kerjasama antara kerajaan negeri dan persekutuan sebelum ini amat baik dan kita berharap ia dapat diteruskan,” katanya.

Ditanya mengenai keyakinannya di kerusi Limbang dan Lawas, beliau berkata: “Saya amat yakin kita mampu menang di Lawas dan Limbang, dengan mudah,” katanya.