Pembangkang tidak matang berpolitik, sanggup lakukan serangan peribadi

3

NIKMAT PEMBANGUNAN: Ding menyempurnakan perasmian jambatan di Jalan Bayong, semalam.

SARIKEI: Dalam usaha memenangi kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), pihak pembangkang sanggup menggunakan pelbagai usaha termasuk serangan peribadi terhadap calon Barisan Nasional (BN).

Tindakan tersebut membuktikan bahawa pihak pembangkang tidak matang dalam berpolitik dan menjelaskan bahawa perjuangan politik mereka bukan memfokuskan kepada pembangunan masyarakat, tetapi lebih kepada perjuangan individu sahaja, kata calon BN Parlimen Sarikei Ding Kuong Hiing.

Katanya perkara ini dapat dilihat dengan jelas sewaktu pihak pembangkang menganjurkan kempen terbuka, apabila mereka secara sesuka hati memburuk-burukkan peribadi calon BN.

“Perkara ini juga membuktikan bahawa pihak pembangkang tidak mempunyai perancangan pembangunan dan langkah untuk terus memajukan negara ini.

“Berdasarkan tindakan mereka, perjuangan politik mereka selama ini adalah lebih kepada usaha untuk menumbangkan kerajaan BN dan bukan persaingan untuk membawa negara ini ke persada pembangunan dan kemajuan.

“Jika mereka diberi amanah untuk mentadbir negara ini, pasti negara ini akan musnah dan masa depan generasi muda juga akan menjadi gelap,” kata Ding.

Tambahnya, perkara ini jelas akan berlaku kerana pihak pembangkang tidak mempunyai sebarang pengalaman dan perancangan untuk mentadbir negara ini dengan sempurna seperti yang dimiliki oleh kerajaan dan pemimpin BN.

Ding berkata demikian pada Majlis Perasmian Dua Jambatan di Jalan Bayong, semalam.

Dua jambatan ini terletak di Jalan Chieng Chin dan pada asalnya ia diperbuat daripada kayu, tetapi berkat usaha dan pentadbiran yang sempurna daripada kerajaan BN, ia telah dinaik taraf kepada jambatan besi yang lebih kukuh dan tahan lama.

Justeru menurut Ding, masyarakat di kawasan luar bandar khasnya tidak seharusnya terpengaruh dengan dakyah dan isu yang diputarbelitkan pihak pembangkang.

“Ini kerana semua perkara itu adalah mainan politik kotor mereka dalam usaha untuk meraih sokongan masyarakat, khasnya bagi memenangi kerusi pada PRU13 ini,” jelas Ding.