Wednesday, December 6

Komuniti Cina diseru pelihara ‘Cara Johor’

0

PELIHARA KESEDERHANAAN: Abdul Ghani berjumpa dengan pengundi-pengundi di Gelang Patah.

KUCHING: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Gelang Patah Datuk Abdul Ghani Othman menyeru kepada pengundi di negeri itu khasnya komuniti Cina agar memelihara kesederhanaan ‘Cara Johor.’

Dalam satu kenyataan melalui akhbar nasional baru-baru ini, Menteri Besar itu berkata, Johor sentiasa mengamalkan prinsip itu pada masa lalu.

“Walaupun saya tidak boleh bercakap atau membaca tulisan Cina, saya belajar dua watak Cina lama iaitu ‘Zhong Yong,’ yang bermaksud sederhana.

“Ia bukan sahaja satu prinsip falsafah tetapi saya menggunakan prinsip ini untuk mentadbir Johor dan sentiasa mendapati ia wajar dan sesuai. Di sini (Gelang Patah), lebih separuh daripada penduduk adalah Cina dan seluruh negeri ini terdapat komuniti Cina yang besar.

“Inilah sebabnya mengapa budaya dan pendidikan Cina telah diberi perhatian di Johor. Sama seperti saya memberi perhatian kepada keperluan kaum-kaum lain, saya juga telah melihat keperluan kaum Cina.

“Dengan ini kita dapat menikmati kemakmuran dan keharmonian di kalangan masyarakat berbilang kaum sejak 18 tahun yang lalu. Dalam banyak cara, kesederhanaan telah menjadi aset paling berkuasa kepada kita di Johor,” katanya.

Abdul Ghani, yang juga merupakan Ketua BN Johor menegaskan, sejak akhir-akhir ini ‘Cara Johor’ itu telah digunakan oleh beberapa pemimpin politik yang cenderung untuk menggunakan kata-kata yang membangkitkan emosi pengundi Cina.

“Sacara jujurnya, saya tidak suka menuding jari dan memarahi lawan politik saya.

Walaupun persaingan adalah sengit, dengan taktik konfrontasi yang digunakan pihak lain beberapa hari lepas, saya telah menolak pendekatan agresif. Saya percaya rekod dan prestasi saya yang kukuh akan membuktikan ia kepada mereka.

“Para pengundi tahu bahawa gaya pengurusan saya selama hampir dua dekad telah menekankan kesederhanaan, tidak pernah polarisasi. Kita sentiasa mencari keharmonian dan tidak menentang antara satu sama lain.

“Jika melakukan polarisasi masih boleh menang pilihan raya, bagi saya, pemenang itu masih kalah,” tegasnya.

Abdul Ghani memberi contoh, dua gereja, sebuah kuil Sikh dan kuil Buddha yang dilaluinya dalam perjalanan ke pejabat beliau, menjadi satu peringatan bagaimana etnik dan agama yang berbeza di Johor masih dapat hidup sebelah-menyebelah dalam keharmonian dan perpaduan.

Beliau turut menegaskan, menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini, “Keharmonian harus dijaga selama-lamanya.”

“Kesederhanaan, yang menjadi asas Cara Johor, adalah yang saya pelajari daripada budaya Cina. Sekarang saya menghadapi pesaing yang mendekati kaum Cina menggunakan ‘anti-kesederhanaan,’ iaitu taktik terbaiknya.

“Betapa ironinya ini kerana segala strategi berkenaan lebih menentang kepada falsafah dan budaya Cina yang baik dan mulia.

Ini sememangnya akan menjadi satu ujian yang hebat dan mencabar untuk saya dan rakan-rakan pengundi di Johor,” tambahnya.

Abdul Ghani akan menghadapi pertandingan satu lawan satu dengan Penasihat Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Kit Siang.

Kerusi Parlimen berkenaan dilihat sebagai salah satu kerusi yang paling sengit pada PRU13 ini.

Pengundi Cina merupakan pengundi paling ramai di Gelang Patah iaitu 53 peratus sementara pengundi Melayu 33 peratus dan 12 peratus adalah pengundi India.

#myvote13 #ge13