SIBU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Dr Annuar Rapa’ee menggesa penduduk Parlimen Sibu agar membina semula ‘jambatan’ antara kawasan ini dengan pucuk pimpinan di peringkat pusat.
“Dengan itu, undi anda amat penting mengembalikan hubungan ini yang hilang sejak tiga tahun lalu apabila Sibu berada di bawah pembangkang,” katanya.
Parlimen Sibu jatuh ke tangan pembangkang pada Pilihan Raya Kecil Sibu 2010, yang diadakan berikutan kematian penyandangnya, mendiang Datuk Robert Lau Hoi Chew.
Menurut Dr Annuar, Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini bukan sahaja memilih wakil rakyat yang boleh membela nasib rakyat dengan berkesan.
Malah, bertujuan mengekalkan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri yang telah menunjukkan nilai kepimpinan cemerlang.
“Sejak mengambil alih kepimpinan negara empat tahun lalu, Najib telah menunjukkan beliau sewajarnya mendapat sokongan padu atas kepimpinan yang berpandangan jauh.
“Beliau (Najib) juga berjaya menggerakkan roda pembangunan yang lebih pesat melalui pelbagai program transformasi,” katanya.
Menyentuh mengenai calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sibu, Vincent Lau Lee Ming, Dr Annuar berkata: “Lau merupakan seorang yang sentiasa merendah diri serta dihormati masyarakat pelbagai kaum”.
Ini kerana, katanya, Lau terlibat dalam pelbagai kegiatan ekonomi, sosial, pertubuhan sukarela dan pendidikan terutamanya pendidikan masyarakat Cina.
“Beliau seharusnya diberi peluang untuk menggunakan segala pengalaman dan ketokohan pada peringkat penggubalan dan membuat dasar paling tinggi di negara ini iaitu Parlimen.
“Amat malang dan sesuatu yang merugikan jika kita tidak mengundi beliau. Saya merayu kepada rakan taulan dan saudara-saudari semua serta para pengundi yang budiman untuk meletakkan kepercayaan kepada Lau,” katanya.
Dr Annuar juga menyeru agar semua rakyat dapat berfikir dengan jernih dan wajar untuk meletakkan Lau pada tempat sepatutnya dengan memberi satu undi berharga kepadanya ketika mengundi pada 5 Mei ini.