Ngap Sayot pencabar utama

0

DIKAWAL KETAT: Salibasic dikawal ketat oleh pertahanan KL SPA pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Negeri kelmarin. Sarawak menang 2-1. — Gambar Chimon Upon

KUCHING: Sarawak bangkit dari ketinggalan pada separuh masa pertama menewaskan KL SPA Putrajaya FC dengan 2-1 dalam perlawanan Liga Perdana di Stadium Negeri, malam kelmarin (Jumaat).

Jaringan Guy Bwele dan Bobby Gonzales pada minit ke-56 dan ke-69 memastikan Sarawak terus mengukuhkan kedudukan selaku pencabar utama kejuaraan liga.

Bagaimanapun, corak permainan Sarawak yang terlalu longgar pada separuh masa pertama memberi peluang kepada KL SPA menguasai permainan.

Penyerang lawan, Joel Armel Tchami menghukum kelekaan pasukan tuan rumah menerusi ledakannya dari jarak 27 meter untuk Sarawakmeletak KL SPA di hadapan pada minit ke-42.

Tersentak dengan jaringan itu, Sarawak bangkit dari lamunan dan mempamerkan aksi yang lebih meyakinkan pada separuh masa kedua.

Mereka hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-53, namun jaringan pemain pertahanan, Hairol Mokhtar dibatalkan oleh pengadil kerana mengasari penjaga gol KL SPA, Mohd Soffuan.

Tonggak tengah Sarawak, Bwele menamatkan keresahan sekitar 8,000 penyokong setia setelah menyumbat gol penyamaan pada minit ke-56.

Pemain dari Cameroon itu tenang menyudahkan sepakan percuma dari jarak 26 meter untuk menewaskan Mohd Soffuan.

Gol itu merubah rentak permainan pasukan Ngap Sayot yang semakin agresif dalam usaha memburu gol kemenangan.

Usaha mereka berhasil apabila tandukan Bobby pada minit ke-69 meletakkan Sarawak di hadapan.

Segala-galanya bermula dari lontaran jauh oleh Rames Lai yang ditanduk oleh Junior Eldstal sebelum disambar dengan baik oleh Bobby untuk gol kedua Sarawak.

Ini merupakan jaringan ke-11 penyerang kelahiran Sabah itu setakat ini.

Pada minit ke-76, Muamer Salibasic hampir menambah derita KL SPA namun ledakannya ditampan oleh penjaga gol setelah menerima umpanan cantik dari Rames.

Keputusan itu kekal hingga tamat perlawanan.

Kemenangan Sarawak bagaimanapun tidak menggembirakan pengendalinya, Robert Alberts.

Alberts berkata, beliau tidak berpuas hati dengan sikap pemain yang terlalu leka dan tidak bermain di tahap sebenar terutamanya pada separuh masa pertama.

“Sepatutnya kita lebih agresif di laman sendiri, namun saya tidak dapat melihat impaknya di separuh masa pertama sehingga menyebabkan KL SPA mencuri peluang dengan mendahului kita.

“Apapun pemain mula sedar kesilapan masing-masing dan kita berjaya mendahului pada separuh masa sekali gus memastikan tiga mata berharga pada perlawanan ini,” katanya.

Kemenangan itu memastikan Sarawak terus kekal di tangga kedua dengan mengumpul 37 mata di belakang Sime Darby FC dengan 39 mata.

Sara-wak akan menjadi tetamu KL Pos Malaysia FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selangor esok (6 Mei).