Prestasi skuad Piala Presiden mengecewakan

0

KUCHING: Kami peminat bola sepak tempatan mendesak agar Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) memecat ketua jurulatih skuad Piala Presiden Sarawak, Mohd Farhan Abdullah ekoran kekalahan berturut-turut skuad muda kita dalam saingan Liga Piala presiden musim ini.

Kami, peminat setia pasukan Sarawak juga melahirkan rasa kecewa dan bimbang dengan prestasi buruk skuad muda itu yang dibimbing oleh Farhan.

Dengan keputusan hanya tiga kemenangan, enam seri dan 11 kekalahan daripada 20 perlawanan adalah pencapaian yang amat mengecewakan bagi skuad yang dikatakan telah melakukan persediaan lengkap sebelum bermulanya kempen pada Januari lepas.

Apa yang lebih memalukan kita apabila Sarawak kini berada pada kedudukan tercorot (di bawah dua sekolah sukan) iaitu SSBJ dan SSTMI yang rata-ratanya dibarisi oleh pemain-pemain masih muda.

Bagi kami, skuad Piala Presiden Sarawak sepatutnya mempamerkan aksi yang lebih baik kerana mereka dibarisi pemain-pemain yang berkualiti seperti Maxwell Bolly, Eugene Thompson, Richard Sawing, Ahmad Faiz Bujang, Florin Rison Laes dan ramai lagi.

Malah, kami ternyata amat kecewa kerana ada sebahagian pemain yang cukup berpengalaman pernah bersaing pada kempen Piala Presiden musim lalu.

Justeru, kami mahu penjelasan pihak pengurusan FAS di manakah silapnya yang menyaksikan prestasi dan kehambaran skuad tersebut? Adakah pemain-pemain muda Sarawak nampak tidak berkualiti ataupun percaturan jurulatih yang tidak dapat diterima oleh para pemain kita? Biar apapun masalah dan alasannya, kedudukan Sarawak yang berada di tangga ke-16 setakat ini iaitu tiga dari bawah Liga Piala Presiden 2013 membukti kegagalan Farhan membimbing skuad muda kita.

Justeru, sudah menjadi amalan dalam mana-mana liga di seluruh dunia, jurulatih yang gagal memberikan yang terbaik untuk pasukan harus dipecat atau mengundur diri bagi memberi peluang kepada orang lain yang berwibawa untuk membimbing pasukan terbabit.

Malah, dalam Liga Perdana Inggeris pun ada kelab bola sepak akan menukar jurulatihnya apabila kelab terbabit gagal memberi keputusan memuaskan sebelum berakhir pusingan pertama.

Justeru, FAS perlu melakukan rombakan drastik demi untuk mengembalikan maruah dan imej pasukan muda Sarawak dalam arena bola sepak tempatan.

Sebagai peminat setia bola sepak Sarawak, kami mahu melihat kejayaan cemerlang pasukan kita bukan setiap kali turun gelanggang mereka sebagai pasukan belasahan atau ulaman pasukan lain.

Ayuh marilah kita bersama-sama mempertingkatkan kejayaaan dan kecemerlangan pasukan muda Sarawak.