70 peratus mengundi di seluruh negara

0

PUTRAJAYA: Sekurang-kurangnya 70 peratus daripada 12,992,661 pengundi biasa telah mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) semalam dan menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), angka itu mungkin mencecah sehingga 80 peratus.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata peratusan mengundi muktamad hanya akan diketahui setelah pengiraan terhadap Borang 16 iaitu penyata undian selesai dijalankan.

“Jumlah 70 peratus itu paling minimum. Insya-Allah ia boleh mencapai lebih tinggi lagi sehingga 80 peratus,” katanya kepada media di Ibu Pejabat SPR di sini semalam.

Proses pengundian bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

Beliau berkata secara keseluruhannya SPR berpuas hati dengan proses pengundian semalam.

“SPR mengucapkan terima kasih kepada pengundi kerana menunaikan hak mereka sebagai pengundi, terima kasih juga kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana mengawal keselamatan seluruh negara, petugas SPR yang terlibat dalam pengundian pos, awal dan biasa,” katanya.

Abdul Aziz turut menasihatkan parti politik supaya tidak mengumumkan keputusan tidak rasmi bagi mengelak kekeliruan orang ramai. — Bernama