BN gagal pertahan kerusi Parlimen Miri

0

 

UMUM: ADUN Pujut Fong Pau Teck (DAP) mewakili Dr Teo mengangkat tangan tanda kemenangan PKR. Turut kelihatan Sebastian (baju biru di sebelah kiri Monica)di Dewan Suarah Miri malam tadi.

MIRI: Barisan Nasional (BN) gagal mempertahan-kan kerusi Parlimen Miri apabila tewas kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pertandingan tiga penjuru yang turut membabitkan Parti Reformasi Sarawak (STAR).

Calon BN daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Sebastian Ting memperolehi 24,917 undi, tewas kepada calon PKR Dr Michael Teo yang memperolehi 26,909 undi.

Manakala calon STAR Chong Kon Fatt hanya memperolehi 306 undi sekali gus hilang wang pertaruhan RM10,000.

Dr Teo memenangi Parlimen Miri dengan majoriti 1,992, menjadi calon pembangkang pertama memenangi kerusi Miri, selama ini merupakan kubu kuat BN terutama bagi kaum Cina di peringkat Parlimen.

Seramai 52,813 daripada 71,170 pengundi berdaftar keluar mengundi dan hanya 52,132 undi diterima dengan 630 undi rosak dan 51 tidak dikembalikan.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Monica Lenya meng-umumkan keputusan rasmi bagi kerusi Parlimen Miri di pusat penjumlahan undi di Dewan Suarah Miri di sini pada jam 10.13 malam.

Kekalahan di Miri kali ini sekali gus memberi tamparan hebat kepada SUPP kerana ia juga merupakan kerusi milik Presiden SUPP Datuk Seri Peter Chin yang disandang beliau sejak enam penggal lalu.

Ia juga menyaksikan SUPP tewas di lima kerusi yang lain iaitu Bandar Kuching, Stampin, Sarikei, Sibu dan Lanang.

SUPP hanya menang satu kerusi iaitu Parlimen Serian yang dikekalkan oleh penyandangnya Datuk Richard Riot Jaem sebagai satu-satunya kerusi majoriti Bumiputera.

Sementara itu, Dr Teo tidak kelihatan untuk meraikan kemenangan beliau di sini kerana berada di Kuching.

Manakala Sebastian, ketika ditemui pemberita selepas pengumuman berkata beliau menerima dengan hati terbuka keputusan pilihan raya tersebut.

“Rakyat di Miri sudah ber-suara dan inilah keputusan mereka, justeru saya harus menghormati keputusan penduduk Miri. Saya sudah melakukan yang terbaik.

“Pada masa yang sama, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Dr Teo atas kemenangan beliau menjadi wakil rakyat Parlimen Miri dan saya berharap beliau dapat menunaikan janji-janjinya kepada rakyat di sini sebagaimana yang diucapkannya semasa kempen lalu,” katanya.

Ketika ditanya langkah beliau selepas ini, Sebastian berkata beliau akan berehat seketika sebelum memikirkan keputusan selanjutnya apabila kembali daripada bercuti kelak.

Beliau yang ditemani isterinya dan para penyokong serta bekas Presiden SUPP merangkap bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan berkata walaupun gagal namun beliau bersyu-kur dan berterima kasih terhadap sokongan para pengundi.

“Kekalahan tipis ini me-nunjukkan SUPP masih ada penyokong daripada kalangan masyarakat Cina dan masih relevan,” katanya.