Keadaan terkawal sepanjang proses pengundian

0

KUALA LUMPUR: Proses mengundi pada pilihan raya umum Ke-13 (PRU13) berlangsung dalam keadaan aman dan terkawal walaupun terdapat beberapa insiden pergaduhan kecil, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Beliau berkata polis berjaya mengawal keadaan di pusat pengundian terlibat.

“Insiden pergaduhan itu melibatkan beberapa penyokong parti yang tidak berpuas hati antara satu sama lain, namun atas kecekapan pihak polis, kita berjaya mengawalnya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini.

Ismail berkata polis memanggil beberapa individu yang dipercayai terlibat dalam insiden itu untuk memberi keterangan.

Dalam pada itu, beliau menggesa penyokong parti agar tidak mengadakan sebarang perhimpunan atau perarakan untuk merai kemenangan atau membantah keputusan pilihan raya.

Ismail turut menasihatkan orang ramai agar tidak terlalu bergantung kepada keputusan tidak rasmi pilihan raya yang dihebah melalui laman sosial kerana ia mungkin bersifat khabar angin.

Sementara itu, beliau menjelaskan bas yang ditahan penyokong sebuah parti politik di Pandamaran, Klang sebenarnya membawa sekumpulan 54 pekerja industri warga asing ke tempat kerja masing-masing, dan bukan pengundi hantu seperti didakwa.

Difahamkan kebanyakan mereka merupakan warga Bangladesh.

“Dalam insiden itu, ada segelintir warga asing yang dipukul serta diugut oleh penyokong parti politik berkenaan kerana menganggap pekerja asing itu pengundi hantu.

“Dalam kejadian itu, cermin bas turut dipecahkan serta pemandu bas diugut,” katanya sambil menambah polis kini menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti pihak yang menimbulkan kekacauan itu.

“Saya nasihatkan mereka ini (penyokong parti) tidak mengambil tindakan di tangan sendiri kerana ia boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.

Satu klip video menunjukkan sekumpulan individu menahan sebuah bas di Pandamaran tersebar di beberapa laman sosial yang mendakwa semua penumpang merupakan pengundi hantu. — Bernama