Kejayaan bukti majoriti rakyat masih teguh sokong BN Sarawak: Taib

0

KEKALKAN KEMENANGAN: Taib bergambar bersama barisan pemimpin negeri dan calon-calon Barisan Nasional yang menang di kerusi masing-masing pada PRU13, malam tadi. Turut kelihatan Datuk Fadillah Yusof (kiri), Rubiah Wang (tiga kiri), Datuk Alexander Nanta Linggi (kanan), Dato Sri Douglas Uggah Embas (dua kanan) dan Datuk Richard Riot (empat kanan).

KUCHING: Kejayaan Barisan Nasional (BN) memenangi 25 daripada 31 kerusi Parlimen di Sarawak menunjukkan majoriti rakyat di negeri ini masih menyokong teguh kepimpinan BN.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, meskipun tewas di enam kerusi, keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini memberi gambaran rakyat di luar bandar yakin dengan keupayaan BN.

Susulan sumbangan BN Sarawak terhadap keputusan keseluruhan, Pengerusi BN Sarawak itu juga yakin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan menambah peruntukan kewangan kepada negeri ini.

“Nampaknya, sokongan di peringkat Parlimen di Sarawak lebih baik walaupun di kawasan bandar sokongan terhadap pembangkang turut bertambah.

“Kerajaan telah berusaha untuk memperbaiki keadaan di bandar, tetapi belum mendapat maklum balas yang baik,” katanya pada sidang media sempena pengumuman keputusan PRU13 di kediamannya di sini, malam tadi.

Taib berkata, kekalahan di kawasan majoriti Cina tidak bermakna kerajaan akan mengabaikan masalah dan keperluan keseluruhan kaum itu.

Katanya, masih ada di kalangan kaum Cina yang menyokong BN.

“Kita akan memperhebatkan usaha bagi mengatasi masalah-masalah di bandar kerana BN mengamalkan konsep membantu rakyat sama rata,” ujarnya.

BN tewas di Parlimen Bandar Kuching, Stampin, Sarikei, Lanang, Sibu dan Miri.

Pada PRU 2008, BN menang di 30 kerusi.

Menerusi Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu pada 2010, DAP menang, sekali gus menambah kerusi dimenangi mereka menjadikan BN menguasai 29 kerusi.

Keputusan semalam menyaksikan PBB menang semua 14 kerusi, SUPP (1), PRS (6) dan SPDP (4).

Berikut merupakan kawasan- kawasan tumpuan di Sarawak pada pilihan raya ini.

Di Parlimen Mas Gading, perlawanan empat penjuru menyaksikan Nogeh Gumbek (BN) menang dengan majoriti 2,156 undi meskipun sebelum ini dikatakan tergugat oleh kehadiran calon Bebas yang juga penyandang, Datuk Dr Tiki Lafe.

Mordi Bimol (DAP) dan Patrick Anek Uren (STAR) juga terbabit dalam pertandingan itu.

Mengenepikan pesaing, Tan Sri William Mawan Ikom mengekalkan kerusi Parlimen Saratok untuk BN dengan menewaskan pencabar terdekat, Ali Biju (PKR).

Kerusi Saratok turut ditandingi Abg Roselie Abg Paleng (Bebas).

Mawan yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan ADUN Pakan merupakan muka baharu menang dengan majoriti 2,081 undi.

BN di Parlimen Lubok Antu berjaya mempertahankan kerusi tersebut menerusi kemenangan penyandangnya, William Nyalau Badak dengan majoriti 4,091 undi menewaskan Larry Sng (SWP) dan Nicholas Bawin Anggat (PKR).

Di Parlimen Sri Aman, Masir Kujat (BN) mempertahankan kerusi itu bagi penggal kedua apabila menewaskan pencabar utamanya, Donald Lawan (Bebas) dan dua lagi calon daripada PKR dan SWP.

Masir menang dengan majoriti 6,550 undi.

Penangan ahli politik veteran Datuk Sng Chee Hua (SWP) di Parlimen Selangau gagal menumpaskan penyandang Datuk Joseph Entulu Belaun yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dalam pertandingan yang turut membabitkan Joshua Jabeng (PKR) dengan majoriti 7,555 undi.

Bagi muka baharu daripada BN, Rubiah Wang menang selesa dengan majoriti 17,401 undi apabila menewaskan Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus (PAS).

Seorang lagi muka baharu BN Anyi Ngau menang dengan majoriti 194 undi, menewaskan Patrick Sibat Sujang (Bebas) dan Roland Engan (PKR) di Parlimen Baram.

Muka baharu BN Ugak Kumbong menewaskan dua pesaing, George Lagong (SWP) dan Abun Sui Anyit (PKR) dengan majoriti 5,834 undi.

Di Parlimen Stampin, Datuk Yong Khoon Seng (BN) sebagai penyandang, terpaksa akur dengan keputusan memihak kepada Julian Tan (DAP) dalam pertandingan tiga penjuru membabitkan juga Soo Lina (STAR).

Julian menang dengan majoriti 18,670 undi.

Di Parlimen Bandar Kuching, Chong Chieng Jen (DAP) berjaya mempertahankan kerusi yang dimenanginya sejak PRU 2004 dengan menewaskan Tan Kai (BN).

Chong menang dengan majoriti 19,642 undi.

Bagi Parlimen Sarikei, penyandangnya Ding Kuong Hiing (BN) tumbang kepada Andrew Wong dengan majoriti 505 undi.

PRU13 ini menyaksikan DAP merampas kerusi Parlimen Lanang daripada BN apabila calonnya, Alice Lau menumpaskan penyandang, Datuk Tiong Thai King dengan majoriti 8,630 undi.

Di Parlimen Julau, Wong Judat yang keluar daripada BN satu ketika dahulu untuk menyertai SWP bagi menentang penyandang Datuk Joseph Salang Gandum (BN) terpaksa akur dengan kekalahannya.

Salang menang dengan majoriti 5,955 undi.

Ia merupakan pertandingan tiga penjuru yang turut membabitkan Wong Hong Yu (PKR).

Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian yang juga ADUN Ba’ Kelalan tewas di tangan Hasbi Habibollah (BN).

Hasbi menang dengan majoriti 8,301 undi.

Di Parlimen Sibu, BN gagal merampas kerusi itu daripada Sibu apabila Vincent Lau tewas kepada Oscar Ling (DAP) yang menang dengan majoriti 2,841 undi.

Narawi Haron daripada Bebas juga bertanding.

PKR menerusi Michael Teo merampas kerusi Parlimen Miri daripada BN yang mengetengahkan muka baharu Datuk Sebastian Ting dengan majoriti 1,992 undi.

Kerusi tersebut merupakan satu-satunya yang dimenangi parti tersebut di Sarawak.

Sementara itu, PAS tewas di semua lima kawasan: Parlimen Kota Samarahan, Batang Sadong, Tanjung Manis, Igan dan Sibuti.

Begitu juga dengan Parti Pekerja Sarawak (SWP), semua calon-calonnya kecundang di enam kawasan menentang calon-calon BN daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS) di Lubok Antu, Sri Aman, Julau, Kanowit, Selangau dan Hulu Rajang.

Parti Reformasi Negeri (STAR) turut gagal meraih sebarang kerusi hasil pertandingan di Parlimen Mas Gading, Santubong, Stampin, Mambong, Serian, Miri dan Lawas.

Calon-calon Bebas juga terpaksa menerima hakikat, mereka tidak mendapat tempat di hati para pengundi.