Kemenangan BN untuk rakyat Saratok

0

MENANG: Mawan dan Wahab dijulang oleh penyokong BN sebaik sahaja diumumkan sebagai pemenang bagi Parlimen Saratok.

SARATOK: “Kemenangan ini adalah milik rakyat kawasan Parlimen Saratok dan saya yang telah diamanahkan untuk menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat di kawasan ini berjanji akan memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di Parlimen ini,” kata Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Tan Sri William Mawan Ikom.

Kata Mawan kemenangan ini juga membuktikan bahawa rakyat di kawasan berkenaan sedar dan matang bahawa hanya kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) sahaja yang mampu membela nasib dan masa depan mereka pada masa akan datang.

“Saya berjanji dengan amanah dan kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat kepada saya, saya akan memastikan rakyat di Parlimen ini terus bergerak ke hadapan dan maju seiring dengan kawasan-kawasan lain.

“Saya akan tunaikan janji-janji yang telah saya lafazkan kepada rakyat selama ini dan akan terus membela masyarakat di Parlimen ini,” kata Mawan sewaktu ditemui pemberita sebaik sahaja diumumkan sebagai pemenang bagi kerusi Parlimen Saratok, semalam.

Keputusan PRU13 yang diumumkan semalam di Dewan Masyarakat Saratok, Mawan mendapat 11,600 undi manakala pencabar utamanya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ali Biju mendapat 9,519 undi dan calon Bebas Datuk Abang Rosli hanya mendapat 681 undi.

Justeru, Mawan menang dengan majoriti 2,981 undi dan peratusan pengundi yang turun mengundi ialah 80.3 peratus.

Tambah Mawan, beliau selaku wakil BN ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakyat Saratok atas sokongan padu yang membawa kepada kemenangan BN.

“Saya yakin dengan sokongan dan kepercayaan ini, Parlimen Saratok akan lebih maju dan membangun lagi.

“Saya akan berusaha meneruskan kesinambungan pembangunan dan kemajuan yang telah dilaksanakan selama ini.

“Perancangan saya sekarang ini ialah untuk memastikan segala infrastruktur akan dinikmati masyarakat di segenap pelosok kawasan Parlimen ini,” tegasnya.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Kalaka Datuk Wahab Aziz serta sekitar 500 penyokong BN.