Anthony Nogeh Gumbek menang dengan majoriti 2,156 undi menewaskan calon Bebas, DAP dan STAR
BAU: Kerusi Parlimen Mas Gading kekal kubu Barisan Nasional (BN) menerusi kemenangan calonnya, Anthony Nogeh Gumbek dengan majoriti 2,156 undi.
Nogeh, 56, memperolehi 8,265 undi menewaskan pencabar terdekat calon Bebas Datuk Dr Tiki Lafe dengan 6,109 undi diikuti calon DAP Mordi Bimol (5,293 undi) dan calon STAR Patrick Anek Uren (462 undi).
Kemenangan Nogeh membuktikan rakyat dan pengundi Mas Gading masih setia sebagai penyokong BN meskipun dibelenggu dengan pelbagai krisis sebelum ini.
Nogeh yang ditemui selepas pengumuman keputusan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Simon Japut di Dewan Suarah Bau semalam menyifatkan proses pemilihan kali ini sebagai yang terbaik dan paling menarik pernah dilalui.
Beliau yang lega selepas dipilih sebagai wakil rakyat bagi Parlimen itu berjanji akan melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik untuk tempoh lima tahun ini seperti yang telah dijanjikan.
“Saya berterima kasih kepada semua yang telah membantu saya sepanjang tempoh 15 hari berkempen ini sehingga berjaya memenangi dan mempertahankan kerusi Parlimen Mas Gading pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada ketiga-tiga pencabar saya yang telah memberi kerjasama yang baik kepada kami dalam memastikan kelancaran proses pilihan raya kali ini,” katanya.
Ditanya mengenai perancangan selepas ini, Nogeh berkata jenteranya telah mempunyai perancangan untuk tempoh lima tahun ini tetapi segalanya akan dibincangkan terlebih dahulu bersama pucuk pimpinan di peringkat parti, negeri dan pusat.
Dalam pada itu 79.1 peratus daripada jumlah pemilih hadir menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi semalam bagi kawasan Parlimen Mas Gading.
Turut hadir pada pengumuman keputusan pilihan raya bagi Parlimen itu semalam ialah calon DAP Mas Gading bersama penyokong-penyokongnya.
Bagaimanapun kedua-dua calon Bebas dan STAR tidak menghadirkan diri pada pengumuman keputusan itu semalam.
Kemenangan Nogeh semalam turut diraikan bersama isterinya, Caroline Mawas Jonathan Sabai, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Ranum Mina serta ahli-ahli Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) serta penyokong BN yang lain.