SUPP telah lakukan yang terbaik: Dr Chan

0

AKUR: Dr Chan bercakap kepada pemberita ketika ditemui selepas pengumuman keputusan PRU13 Parlimen Miri di Dewan Suarah Miri. Turut kelihatan ialah isteri beliau, Datuk Lorna Ulun (kiri).

MIRI: Walaupun tewas di semua enam kerusi majoriti pengundi kaum Cina, namun Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) telah melakukan yang terbaik untuk rakyat, khususnya masyarakat Cina di negeri ini.

Bekas Presiden SUPP merangkap bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan berkata parti itu berjaya mengembalikan sebahagian sokongan pengundi kaum Cina pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kali ini, berbanding Pilihan Raya Negeri Sarawak 2011 yang lalu.

Namun kekalahan yang berlaku di semua kerusi kawasan majoriti pengundi Cina katanya, parti perlu melakukan sesuatu terhadapnya.

“Saya akui sesuatu perlu dilakukan, bagaimanapun saya tidak boleh mengulas lanjut (apa yang patut dilakukan) kerana saya adalah orang yang telah bersara.

“Bukan hak saya untuk bercakap mengenainya,” katanya kepada pemberita di sini malam kelmarin, ketika ditemui di pusat penjumlahan undi Parlimen Miri di Dewan Suarah Miri.

Dalam keputusan PRU13 yang diketahui lewat malam Ahad lalu, SUPP tewas di enam kerusi Parlimennya iaitu di Bandar Kuching, Stampin, Sarikei, Sibu, Lanang dan Miri manakala satu-satunya kerusi yang berjaya dipertahankan ialah Serian melalui Datuk Richard Riot Jaem.

Di Parlimen Miri pula, calon SUPP Datuk Sebastian Ting tewas kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr Michael Teo dalam pertandingan tiga penjuru yang turut membabitkan calon Parti Reformasi Sarawak (STAR) Chong Kon Fatt.

Dr Teo yang memperolehi undi sebanyak 26,909 dengan majoriti 1,992 undi berjaya mengalahkan Sebastian yang memperolehi 24,917 undi dan Chong yang hanya memperolehi 306 undi.

“SUPP telah bekerja keras sepanjang musim pilihan raya yang lalu di mana kami juga telah melakukan yang terbaik untuk memperbaiki kelemahan di samping mencari kaedah terbaik menambat semula hati pengundi,” ujar Dr Chan lagi.

“Walaupun kalah (di semua kerusi majoriti pengundi Cina) namun anda boleh lihat, semakin banyak golongan muda termasuk dalam parti (SUPP), yang keluar mengundi, sekali gus mengurangkan jurang majoriti.

“Pada pilihan raya negeri yang lalu kita kalah majoriti lebih 5,000 undi di Miri, tetapi kini kita cuma kalah kurang daripada 2,000 undi dan ini satu perkembangan yang agak baik untuk parti,” tambahnya.

Dr Chan berkata langkah turun padang dan mendekati rakyat yang diamalkan oleh calon-calon SUPP sebelum ini ternyata berkesan.

“Justeru, walau apa pun berlaku, mesti teruskan berkhidmat kepada rakyat. Itu yang penting. Datuk Sebastian Ting adalah contoh terbaik,” katanya.

Sementara itu Sebastian ketika ditanya mengenai kenapa masyarakat Cina masih menolak SUPP, beliau berkata: “Saya tidak tahu, saya tidak tahu (alasan mereka) pada masa ini dan saya akan tanya semua rakan-rakan (dalam SUPP) apa dan kenapa ia berlaku.”

Pada masa yang sama Sebastian berharap wakil rakyat Miri yang baharu itu (Dr Teo) tidak mengecewakan penduduk di Miri dan seterusnya menunaikan janji-janji beliau kepada rakyat di sini, khususnya pengundi yang telah memilih beliau.