Penjaga rumah mayat dirompak dan dibunuh

0

Mayat mangsa yang ditemui berlumuran darah di luar rumah mayat itu.

SANDAKAN: Seorang lelaki yang bekerja sebagai penjaga di rumah mayat San Fook Hing ditemui mati dengan keadaan berlumuran darah dalam kejadian di Jalan Lalang, Off Batu 1 1/2 Jalan Utara di sini kira-kira jam 6.30 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Rowell Marong yang mengesahkan kejadian itu dan berkata mangsa dikenali sebagai Lakompet Lakasu, 80, warga Indonesia dan bekerja di rumah mayat berkenaan sudah lebih lima tahun.

Beliau berkata, dalam kejadian itu mangsa dipercayai dirompak dan dibunuh oleh tiga suspek.

“Dua daripada suspek berkenaan memakai topeng dan dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan mereka telah memukul mangsa di bahagian kepala dengan objek keras, yang mana pada ketika itu mangsa sedang tidur di luar bilik mayat berkenaan. Manakala seorang lagi rakan mereka menunggu di luar.

“Rakaman juga menunjukkan suspek mengambil dompet daripada poket seluar mangsa,” katanya yang berada di tempat kejadian bersama Pegawai Penyiasat Kanan, ASP Sharanjeit Singh.

Rowell berkata peti derma berkunci di tempat sembahyang tidak jauh dari bangunan itu juga dibuka oleh suspek tetapi menurut tauke rumah mayat itu, kebiasaannya tiada wang derma disimpan sepanjang malam di dalam laci itu.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku lewat malam semalam, sebelum tauke berkenaan menjumpai mayat mangsa terbaring di lantai dalam keadaan berlumuran darah pagi kelmarin.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Duchess of Kent untuk bedah siasat,” katanya sambil menambah, kes diklasifikasikan rompak dan bunuh.

Rowell berkata, mangsa dikatakan ada berjanji memberikan wang deposit sebanyak RM1,000 lebih untuk membeli kereta kepada anaknya pada hari kelmarin.

Sehubungan itu, beliau meminta sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi ASP Sharanjeit di talian 013-8852200 atau Balai Polis Sandakan di talian 089-242222/212222.