PPM Tawau gagalkan tiga cubaan seludup pelbagai barangan

0

Antara barangan yang telah dirampas dikumpulkan di jeti PPM Tawau sebelum diserahkan kepada KPDNKK dan KDRM.

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau berjaya menggagalkan tiga cubaan penyeludup membawa masuk dan keluar pelbagai barangan termasuk barang bersubsidi/terkawal bernilai hampir RM10,000 antara daerah ini dan negara jiran pada Isnin lepas dalam Op Landai.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Awang Besar Dullah berkata pihaknya percaya penyeludup terlibat cuba mengambil kesempatan semasa pihak polis masih terlibat dalam tugasan mengawal perjalanan dan keselamatan semasa musim pilihan raya.

“Kecekapan PPM Tawau berjaya menghalang ketiga-tiga cubaan penyeludup terbabit daripada menjalankan aktiviti mereka di daerah ini ketika pihak polis masih terlibat dalam tugasan pilihan raya,” katanya di sini kelmarin.

Awang berkata, ketiga-tiga rampasan terbaru itu melibatkan barangan berupa minyak petrol (1,500 liter), minyak diesel (120 liter), tong gas cecair Petronas (22 tong X 14 kg) dan 38 karung beras (1,550kg).

Beliau berkata, rampasan pertama dilakukan hasil pemeriksaan ke atas sebuah jongkong di perairan Sg Pukul, Sebatik pada jam 11.11 pagi sementara rampasan kedua di feri penumpang KM Nunukan Express pula dibuat sekitar jam 1.20 petang.

Rampasan di feri penumpang terbabit katanya, dilakukan semasa feri berkenaan baru sahaja tiba dari Nunukan, Indonesia di kawasan Pelabuhan Tawau sebelum anggota penguatkuasa PPM terlibat menemui beras putih Indonesia yang disyaki cuba diseludup untuk pasaran tempatan.

“Rampasan ketiga dilakukan kira-kira jam 2 petang di kawasan Laut Pelabuhan Tawau. Hasil pemeriksaan di feri penumpang MV Mid East Express yang juga baru sampai dari Nunukan, Indonesia mendapati penyeludup membawa beras putih Indonesia,” katanya.

Awang berkata, PPM Tawau ataupun pihak polis memerlukan kerjasama dari masyarakat setempat dari semasa ke semasa demi menyekat kegiatan penyeludupan keluar-masuk barangan larangan/bersubsidi di daerah ini.

Beliau menegaskan PPM Tawau memandang serius isu terbabit dan akan mengambil tindakan sewajarnya demi memastikan kegiatan jenayah berkenaan dapat dibendung daripada terus berleluasa.

“Tidak ada sebarang tangkapan dilakukan dalam ketiga-tiga rampasan ini kerana tidak ada pihak yang tampil mengaku sebagai pemilik kepada barangan-barangan terlibat,” katanya sambil menjelaskan rampasan kes itu dibuat di bawah Akta Kastam.

Menurutnya lagi, PPM Tawau telah menyerahkan kes-kes berkenaan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Kastam Diraja Malaysia (KDRM) untuk siasatan dan tindakan susulan.