Tiga suspek curi kabel berjaya diberkas

0

TAWAU: Tiga lelaki yang disyaki mencuri kabel dan peralatan elektrik milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di Jalan Tawau Lama pada Ahad lepas berjaya diberkas oleh anggota polis bantuan syarikat berkenaan.

Menurut Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB, Ir Ahmad Fuad Md Kasim, kesemua suspek yang didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri ditangkap ketika sedang mencuri di salah sebuah pencawang elektrik SESB di lokasi terbabit.

“Siasatan lanjut juga mendapati pencawang berkenaan masih belum beroperasi dan sedang dalam pembinaan untuk menyalurkan bekalan elektrik ke sekolah di kawasan berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan kepada media di sini kelmarin.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata perbuatan ketiga-tiga suspek terbabit menyebabkan pihak SESB terpaksa menanggung kos kerugian sehingga RM15,000 akibat kerosakan peralatan elektrik.

Beliau berkata, susulan daripada penangkapan ketiga-tiga suspek itu juga, pihak SESB menyerahkan kesemua mereka kepada pihak polis untuk tangkapan semula dan tindakan lanjut.

“Jika diikutkan rekod tangkapan di Tawau, ini adalah kejayaan kali ketiga polis bantuan SESB di daerah itu untuk kesalahan sama,” katanya sambil meminta kerjasama daripada orang awam untuk menangani isu berkaitan.

Beliau berkata, orang ramai yang ada terlihat individu-individu mencurigakan berhampiran dengan sebarang pepasangan elektrik milik SESB disaran supaya melaporkan hal berkenaan kepada pihak SESB di talian 088-282455.