Masih ada ruang SPDP barisi kabinet: Mawan

0

KUCHING: Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) tidak mempunyai perwakilan dalam kabinet baharu yang diumumkan semalam, sama ada sebagai menteri penuh atau timbalan menteri.

Bagaimanapun, Presidennya Tan Sri William Mawan Ikom yakin masih ada ruang bagi parti mempunyai wakil dalam barisan kabinet pusat yang baharu.

Presidennya Tan Sri William Mawan Ikom ketika dihubungi Utusan Borneo di sini, semalam berkata meskipun setakat ini beliau belum menemui dan membincangkan perkara itu dengan Perdana Menteri, tetapi yakin SPDP masih ada ruang dalam kabinet berkenaan.

Beliau katanya akan berjumpa dengan Perdana Menteri bagi membincangkan perkara itu.

“Masa kita akan ada, kita masih melakukan yang terbaik dan saya percaya masih ada ruang untuk parti.

“Pengumuman ini belum dimuktamadkan sepenuhnya dan saya percaya parti akan membarisi kabinet,” kata Ahli Parlimen Saratok itu.

Mawan pada masa yang sama menasihati kepada penyokong-penyokong parti supaya tidak perlu bimbang mengenai pengumuman pelantikan itu kerana pucuk kepimpinan pusat akan memilih semua wakil parti dalam kabinet.

“Bagi penyokong SPDP, jangan bimbang kerana Perdana Menteri seorang yang adil dan semua parti akan ada wakil dalam kabinet.

“Apa yang penting kini, parti akan terus berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

SPDP pada barisan kabinet pusat sebelum ini diwakili dua Ahli Parlimen iaitu Datuk Jacob Dungau Sagan sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri juga bekas Ahli Parlimen Baram dan Jelaing Mersat sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan juga bekas Ahli Parlimen Saratok.

Bagaimanapun, Sagan dan Jelaing tidak dicalonkan semula pada PRU13 lepas yang digantikan dengan muka baharu iaitu Anyi Ngau (Baram) sementara Mawan (Saratok).

Barisan kabinet persekutuan baharu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam menyaksikan tujuh menteri penuh dilantik daripada kalangan Ahli Parlimen dan seorang Senator dari Sarawak, iaitu Datuk Seri Idris Jala yang memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Empat Ahli Parlimen tersebut adalah daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) iaitu Datuk Fadillah Yusof sebagai Menteri Kerja Raya, Datuk Rohani Karim (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), Dato Sri Douglas Uggah Embas (Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi) dan Nancy Shukri (Menteri di Jabatan Perdana Menteri).

Manakala Datuk Joseph Entulu Belaun daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS) dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Datuk Richard Riot Jaem daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sebagai Menteri Sumber Manusia.

Kabinet persekutuan yang baharu itu turut memperlihatkan tiga timbalan menteri dilantik daripada PBB iaitu Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar selaku Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Alexander Nanti Linggi (Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Willayah) dan Datuk Seri James Dawos Mamit (Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar).

Seorang lagi timbalan menteri dilantik dari Sarawak ialah Datuk Joseph Salang Gandum (PRS) sebagai Timbalan Menteri Pelancongan.