Masih ada sinar bagi orang diisytihar muflis

0

KUCHING: Tanggapan mengatakan seseorang yang sudah diisytihar muflis tiada peluang untuk penamatan kebankrapan adalah tidak benar, kata Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia (JIM) Cawangan Sarawak Zalina Yacob.

Beliau berkata seseorang yang sudah diisytihar bankrap sama ada oleh pemiutang menerusi penghakiman di mahkamah atau mengisytiharkannya sendiri atas sebab-sebab tertentu boleh membersihkan namanya dengan syarat mereka sanggup berikhtiar serta mendapat bantuan daripada JIM.

Jabatan katanya akan membantu penghutang dengan mengendalikan hal ehwal kebankrapannya termasuk aset, liabiliti dan urusan peribadi tetapi ada hadnya.

Beliau menjelaskan bahawa JIM akan mengendalikan semua aset serta liabiliti penghutang itu sahaja, tidak melibatkan harta ahli keluarga lain kecuali harta perkongsian.

“Jika anda telah diisytihar bankrap, istilah digunakan jabatan, hadir segera di JIM untuk ditemu kenal, kemudian failkan penyata hal ehwal dalam masa tujuh hingga 21 hari, yang lebih penting anda mesti memberi kerja sama kepada Ketua Pengarah Insolvensi (KPI).

“Bukan itu sahaja orang yang diisytihar muflis mesti memastikan ansuran bulanan seperti telah dipersetujui dibayar dengan teratur kerana ini adalah antara proses penamatan kebankrapan dialami oleh seseorang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada ceramah Muflis… Adakah Peluang Kedua di Pustaka Negeri di sini semalam.

Beliau menambah selain itu mereka yang merujuk kes kebankrapan ke JIM mesti memfailkan penyata pendapatan dan perbelanjaan mereka setiap enam bulan dan mematuhi arahan-arahan lain daripada KPI termasuk undang-undang kebankrapan sedia ada.

Zalina berkata jumlah minimum iaitu RM30,000 atau RM28,000 dicampur dengan faedah dan yuran guaman menjadikannya RM31,000 juga membolehkan pemiutang mengambil tindakan ke atas penghutang.

Beliau turut memberitahu bahawa mereka yang sudah diisytihar muflis masih boleh menjalankan aktiviti-aktiviti seperti orang biasa tetapi dengan syarat mesti mendapat kebenaran daripada KPI.

“Misalnya orang yang diisytihar bankrap tidak boleh bekerja dengan suami atau isteri atau saudara mara begitu juga ke luar negara malah berniaga tanpa kebenaran KPI, ujarnya.

Mengenai kesan kebankrapan ke atas penjawat awam Zalina berkata seseorang yang sudah berada dalam perkhidmatan jika diisytihar muflis boleh dikenakan tindakan tatatertib kerana dianggap memburukkan nama baik jabatan.

Manakala mereka yang diisytiharkan bankrap selepas tamat perkhidmatan, pembayaran pencen tidak boleh diserah hak kerana ia akan diagih-agihkan untuk membayar hutang-hutang.

Zalina menambah berdasarkan statistik JIM dari 2007 hingga April 2013 seramai 245,973 orang di seluruh negara diisytihar muflis dan antara punca utama seseorang itu diisytiharkan muflis ialah pembelian sewa beli.