Monday, September 28

Wanita rugi RM20 ribu rumah dipecah masuk

0

KUCHING: Seorang wanita mengalami kerugian mencecah RM20,000 apabila rumahnya dipecah masuk dan pelbagai koleksi barang kemasnya dilarikan kelmarin.

Mangsa, 37, menyedari insiden tersebut selepas pulang ke rumahnya yang terletak di Taman Gemilang, Jalan Sungai Tengah sekitar jam 4.15 petang Isnin lepas.

Menurutnya, selain koleksi barangan kemas yang dianggarkan bernilai sekitar RM15,000, turut hilang ialah TV LCD, komputer riba dan wang tunai RM1,500 serta beberapa dokumen peribadi.

Laporan polis berhubung kejadian telah dibuat dan siasatan polis masih dijalankan.

Sementara itu, dalam satu kejadian berasingan, seorang penyelia juga tampil membuat laporan polis selepas menyedari rumahnya di Batu Kawah, di sini dipecah masuk petang kelmarin.

Menurut sumber, mangsa yang baharu pulang dari kerja mendapati cermin tingkap bahagian dapurnya telah dibuka dan jeriji pintunya juga dirosakkan.

Mangsa kemudian memeriksa ke dalam rumahnya dan menyedari sebuah komputer riba dan kamera jenama Canon serta tabung yang berisi wang telah hilang dari simpanannya.

Selepas dinasihatkan oleh ahli keluarganya untuk membuat laporan polis, mangsa kemudian segera ke balai polis berhampiran untuk melaporkan mengenai insiden tersebut.