14 anggota IPD Kota Kinabalu naik pangkat sarjan

1

JAUTEH (kanan) memakaikan lencana kepada Sarjan Hassan Sabtu dari Jabatan Hal Ehwal Awam (HEA) IPD Kota Kinabalu dalam majlis kenaikan pangkat itu kelmarin sambil diperhatikan oleh Chandra (tengah).

KOTA KINABALU: Seramai 14 anggota dari pelbagai jabatan dan balai di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menerima watikah kenaikan pangkat sarjan yang berkuatkuasa kelmarin.

Kesemua anggota terbabit berjawatan koperal sebelum ini serta terdiri daripada pelbagai portfolio jabatan, antaranya cawangan trafik, hal ehwal awam dan persenjataan.

Majlis pemakaian pangkat terbabit disempurnakan oleh Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun dengan dibantu oleh timbalannya, Supt M Chandra.

Dalam pada itu, Jauteh meminta kepada semua anggota yang telah menerima kenaikan pangkat untuk terus komited dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan bagi menjaga keselamatan awam.

“Saya berharap dengan kenaikan pangkat ini, kesemua anggota yang terlibat akan mempertingkatkan lagi prestasi mereka dalam berkhidmat di jabatan masing-masing khususnya di IPD Kota Kinabalu,” katanya.

Mereka yang menerima kenaikan pangkat sarjan adalah Umar Li Nanti, Zaini Ahmad, Ab Razak Chek Hassan, Hassan Sabtu, Rosli Salleh, Moksin Mustapa, Tengku Fazlina Tengku Ibrahim, Malek Ali, Norsham Yunus, Ag Junaidi Ag Ahmad, Abd Rahman Salleh, Salmah Petrus, Flora Dukung dan Rohana Madrah.