Gandingan lama, baru dalam kabinet persekutuan perkukuh kepimpinan

0

SAYANG IBU: Nancy memeluk ibunya, Bibi MacPherson, 83, setibanya beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, semalam. — Gambar Bernama

KUCHING: Gandingan muka lama dan baharu dalam kabi­net persekutuan adalah bagi kekukuhan kepimpinan dan pelaksanaan manifesto Barisan Nasional (BN) agar lebih telus.Ahli Parlimen Batang Sa­dong yang baharu dilantik sebagai Menteri di Jaba­tan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata, pelantikannya adalah berdasarkan maklum balas dan hasil pemerhatian yang dijalankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri.

“Saya selalu turun padang untuk bersama dengan pen­duduk dan memahami serta mendengar keperluan mereka di kawasan Parlimen saya.

“Justeru, saya akan menerus proses penambahbaikan serta cuba memenuhi keperluan rakyat menurut manifesto BN yang telah dijanjikan.

“Lagipun, perkara ini bukan asing di negara luar, mungkin ia masih baharu di sini dan terlalu awal untuk kita perso­alkan,” ujarnya ketika tiba di Lapangan Terbang Antara­bangsa Kuching (LTAK) petang semalam.

Beliau mengulas dakwaan pembangkang yang memper­tikaikan kedudukannya se­lepas dilantik menjadi menteri penuh dalam kabinet baharu persekutuan yang diumumkan Najib pada Rabu lalu.

Namun demikian, katanya, beliau belum dapat menya­takan portfolionya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri setakat semalam kerana belum dimaklumkan mengenai perkara itu.

Sementara itu, Nancy me­luahkan rasa syukur atas pelantikan beliau dan berjanji untuk menambah prasarana pembangunan dan kelengka­pan kemudahan negara teru­tama di kawasan luar bandar Sarawak.

“Tidak ada sesiapa pun yang tahu melainkan mereka adalah orang yang bertugas di sana, mereka yang turun padang atau tinggal di kawasan pedalaman dan melihat sendiri kekurangan kemudahan dan pembangunan yang masih ban­yak diperlukan,” katanya.

Nancy turut menyatakan harapan agar peruntukan yang lebih diberikan kepada Ahli Parlimen selain kuasa ‘Touch Point’ bagi mempercepatkan proses pelaksanaan projek di kawasan luar bandar kepada Perdana Menteri.

Katanya, usaha itu telah disuarakan kepada Perdana Menteri pada mesyuarat perta­ma kabinet baharu kelmarin.

Turut hadir menyambut ketibaan Nancy di LTAK petang semalam ialah ibunya, Bibi MacPherson, 83, suami, keluarga, saudara-mara dan penyokong.