Pek prabayar eksklusif rai Gawai

0

Celcom hargai sokongan dan kesetiaan pelanggan di Sarawak, Sabah

KUCHING: Xpax Celcom Axiata Berhad yang merupakan penyedia perkhidmatan telco nombor satu di Sarawak kini memperkenalkan pek prabayar eksklusif baharu sempena Hari Gawai Dayak khusus untuk pengguna di Sarawak dan Sabah.

Pengarah Jualan Wilayah Sarawak dan Sabah Celcom Axiata Berhad Choo Meng Chung berkata, pengguna kini boleh mendapatkan pek prabayar itu hanya pada harga RM8.50 di semua kedai Blue Cube Celcom dan wakil pengedar dipilih.

Beliau menjelaskan, pek prabayar itu menawarkan kadar serendah 2.8 sen per minit untuk panggilan dan 1 sen per khidmat pesanan ringkas (SMS) yang turut menawarkan pilihan untuk pakej data dan suara tambahan pada nilai RM1 sahaja.

“Pek permulaan Xpax yang dilancarkan sempena sambutan Gawai ini adalah eksklusif kepada pelanggan kami di Sarawak dan Sabah untuk menghargai sokongan dan kesetiaan mereka selama ini.

“Musim perayaan ini bukan satu pengecualian dan kami berharap pek prabayar baharu dari Xpax ini serta pakej data dan suara tambahan yang ditawarkan akan menjadikan sambutan Gawai lebih bermakna bagi pelanggan dengan lebih banyak peluang untuk berhubung dengan ahli keluarga dan orang tersayang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Xpax Pek Prabayar Eksklusif baharu sempena Hari Gawai Dayak di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Choo berkata, dengan hanya RM1 sahaja dalam pek baharu, pelanggan boleh menikmati 1,000 minit untuk panggilan suara dan 1,000 SMS sehari kepada lima kenalan yang juga menggunakan rangkaian Celcom.

“Selain itu, pelanggan boleh menikmati rangkaian Internet seperti Twitter, Facebook dan web dalam pek baharu ini yang mana kita menawarkan satu jam perkhidmatan data hanya RM1 atau satu bulan hanya RM25 (sehingga 1GB),” jelasnya.

Justeru, beliau menyeru para pelanggan agar mendapatkan pek prabayar baharu itu secepat mungkin kerana ia adalah terhad yang hanya ditawarkan mulai hari ini hingga 30 Jun nanti.

“Menerusi pek prabayar ini, pelanggan akan menikmati kredit RM5 dan terhad kepada satu pek seorang yang hanya dijual di Sarawak dan Sabah sahaja,” ujarnya.

Pada masa sama, Choo mengumumkan Celcom turut menawarkan telefon pintar berjenama diminati ramai pada harga hanya RM458 kepada pelanggan yang mendaftarkan diri sebagai pengguna Celcom First Prime Plan dan pelan data mAdvance dengan bayaran bulanan cuma RM98.

“Mereka yang ingin me-ngetahui lebih lanjut tentang pek prabayar baharu ini boleh mengunjungi Blue Cube Celcom atau wakil jualan terpilih di negeri ini,” tambahnya.

Choo memberitahu, Celcom Axiata Berhad turut memberi pek prabayar baharu itu berserta kad tambah nilai RM20 secara percuma kepada sepuluh finalis Kumang Gawai 2013 anjuran Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU).