PRS sekadar ‘sedikit’ kecewa

0

TETAP TEGUH: Masing (duduk dua kiri) pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi PRS di Kuching, semalam.

KUCHING: Parti Rakyat Sarawak (PRS) tidak akan mengambil tindakan yang boleh menjejaskan parti dan Barisan Nasional (BN) hanya disebabkan kecewa dengan barisan kabinet persekutuan yang baharu dibentuk.

Presidennya, Tan Sri James Masing berkata, tidak pernah terlintas di fikiran mereka untuk bertindak keluar dari BN, meskipun seolah-olah diketepikan dalam jawa­tan tertinggi kerajaan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Rabu lepas.

“Saya dan parti secara keseluruhannya tidak pernah terfikir untuk keluar dari BN hanya kerana perkara ini… kerana kami adalah BN yang sebenarnya. Kami hanya tidak gembira dengan pelantikan tersebut.

“Ia tidak bermaksud hanya kerana jawatan yang diberi­kan sedikit mengecewakan, maka kami akan menentang BN. Persoalannya, kami tidak gembira dengan pelantikan tersebut, itu sahaja,” kata Masing.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi PRS di ibu pejabatnya di Jalan Pending di sini, semalam.

Turut hadir pada mesyuarat dan sidang media itu ialah Setiausaha Agung PRS Datuk Wilfred Nissom, Timbalan Presiden Datuk Joseph Entulu Belaun serta ahli-ahli Majlis Tertinggi parti yang lain.

Masing berkata, kepent­ingan utama parti bukanlah pada jawatan yang diberikan, tetapi jawatan yang bersesua­ian dengan parti serta kawasan yang diwakili oleh PRS yang dapat membantu rakyat luar bandar.

“Saya telah cuba memujuk Datuk Joseph Salang untuk menerima jawatan Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan yang diberikan kepadanya, tetapi beliau tetap enggan.

“Saya memberitahu beliau supaya bersabar dahulu, kami akan berbincang dengan Per­dana Menteri dan lihat sama ada beliau boleh diletakkan dalam portfolio yang bersesua­ian yang boleh membantu rakyat diwakili,” jelasnya.

Masing turut memberitahu beliau telah menulis surat ke­pada Perdana Menteri untuk pertemuan dan perbincangan bagi mendapatkan pertim­bangan beliau berhubung jawatan dalam barisan kabinet persekutuan serta pengganti Salang.

“Kami cuma membuat temu janji bagi mendapatkan nasihat Perdana Menteri mengenai perkara ini. Kami menghargai keputusan tera­khir beliau mengenai siapa yang akan beliau pilih sebagai menterinya, itu kami faham.

“Tetapi kami cuma mahu mendapatkan pertimbangan beliau untuk melihat se­mula pelantikan ini meman­dangkan PRS telah memberi sumbangan yang besar ke­pada kemenangan BN. Enam kerusi itu cukup banyak dan kawasannya hampir separuh daripada Semenanjung Ma­laysia,” katanya.

Antara portfolio yang dili­hat agak bersesuaian dengan PRS ialah Kementerian Per­tanian dan Industri Asas Tani atau portfolio lain yang men­jurus kepada pembangunan luar bandar, katanya.