Kenaikan imbuhan tidak harus menjadi isu

0

KUCHING: Kenaikan imbuhan termasuk gaji dan elaun tetap kepada ahli-ahli pentadbiran dan wakil rakyat tidak sepatutnya menjadi isu kerana ia selari dengan permintaan dan tuntutan masa kini termasuk daripada rakyat sendiri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata kenaikan gaji dan elaun tetap itu amat bermakna terutama kepada wakil rakyat di luar bandar yang mempunyai kawasan pentadbiran yang luas.

“Kita tidak boleh menghalang sesiapa sahaja yang mempertikaikan kenaikan ini kerana itu adalah pandangan mereka, cuma apa yang mereka perlu tahu adalah kenaikan itu sebenarnya adalah bagi membolehkan wakil rakyat terus berkhidmat.

“Saya tidak tahu bagi wakil rakyat di bandar tetapi bagi luar bandar, kenaikan ini amat bermakna dan tidak perlu bimbang bahawa apa sahaja wang yang kami terima, akhirnya ia akan diberi balik kepada rakyat (berkhidmat),” katanya ketika ditemui pemberita selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Tambah beliau, kini permintaan rakyat semakin tinggi, di mana mereka menjangkakan wakil rakyat mereka akan turun padang untuk berkhidmat kepada mereka

Katanya bukan itu sahaja, segala kemudahan atau pengangkutan untuk turun kawasan juga akan meng-gunakan elaun atau gaji ber-kenaan sebagai usaha untuk mendekati rakyat.

“Sebagai contoh kawasan saya untuk pergi ke Long Banga (Baram) saya perlu menyewa kenderaan pacuan empat roda yang kosnya RM2,400 sekali pergi.

“Bayangkan disebabkan permintaan rakyat tinggi untuk saya turun padang, dalam sebulan berapa kali saya perlu pergi,” katanya sambil memberitahu ia belum termasuk jemputan majlis-majlis yang diadakan masyarakat di kawasan ma-sing-masing.

Sementara itu ADUN Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi ketika ditemui berkata, imbuhan yang diperolehi anggota pentadbiran dan ADUN kini setaraf dengan pentadbiran di beberapa negara jiran.

Sebelum ini ujarnya, kadar gaji dan elaun yang diterima wakil rakyat agak terlalu rendah berbanding beberapa negara jiran seperti Thailand, Indonesia, Kemboja dan Vietnam.

“Di negara jiran gaji wakil rakyat mereka adalah sekitar RM20,000 di Indonesia dan Thailand serta RM15,000 di Filipina dan Kemboja.

“Angka-angka ini kelihatan lebih tinggi jika dibandingkan dengan jumlah elaun yang diterima ADUN kita sekarang,” katanya.

Selain itu Dr Abdul Rahman berkata, antara lain ia mengambil kira kos sara hidup yang sentiasa meningkat pada masa kini termasuk kepada ADUN.

Disebabkan faktor itu maka kemampuan seorang wakil rakyat untuk menjaga masyarakat di kawasan mereka turut dipengaruhi oleh peningkatan kos sara hidup masa kini.

“Kita sedia maklum bahawa kali terakhir gaji anggota pentadbiran dan elaun ADUN dikaji semula ialah kira-kira 21 tahun lalu, maka itu sudah tiba masanya kita meminda rang undang-undang ber-kenaan,” katanya.

Sementara itu ADUN Kota Sentosa Chong Chieng Jen berkata komen-komen negatif daripada orang ramai mengenai kenaikan elaun bagi para ahli pentadbiran dan DUN berkemungkinan disebabkan kekayaan negeri yang gagal dikongsi bersama rakyat.

“Orang ramai melihat ke-kayaan negeri telah dimono-poli oleh kumpulan serta para ahli keluarga pemimpin kerajaan yang memerintah justeru mereka kurang berpuas hati ditambah dengan pengumuman kenaikan elaun para ahli pentadbiran dan DUN,” ujarnya.

Chong percaya jika rakyat diberi peluang yang sama rata dalam peluang-peluang ekonomi pandangan negatif tersebut mungkin tidak akan timbul.

“Wakil rakyat seperti mana orang ramai sama-sama me-rasakan kenaikan kos sara hidup namun ia merupakan tanggungjawab kerajaan yang memerintah untuk mensejah-terakan rakyatnya.

“Disebabkan itu saya telah bersetuju dengan usul kenaikan elaun tetapi dengan syarat tiada kumpulan atau para ahli keluarga terdekat kerajaan yang memerintah membida untuk projek-projek negeri,” tambahnya.

Sementara itu pada Selasa lepas, DUN Sarawak meluluskan Rang Undang-undang (Imbuhan, Pencen dan Gratuiti) Ahli-ahli Pentadbiran dan Ahli-ahli DUN 2013 yang menyaksikan kenaikan lebih 200 peratus imbuhan, pencen dan gratuiti dinikmati mereka.