Sunday, June 20

RM263,733,874 peruntukan tambahan diperlukan

0

KUCHING: Sejumlah RM263,733,874 peruntukan tambahan diperlukan kerajaan negeri di bawah Anggaran Tambahan Pertama Perbelanjaan Pembangunan 2013 untuk memenuhi keperluan tambahan bagi pelaksanaan pelbagai projek dan program pada tahun ini.

Perkara itu dinyatakan Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh ketika membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2012) 2013 yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam selepas bacaan kedua dan ketiga dan disokong Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

“Jumlah tambahan seba-nyak RM263,733,874 untuk perbelanjaan pembangunan iaitu peningkatan kira-kira lapan peratus ke atas perbelanjaan pembangunan asal yang menganggarkan seba-nyak RM3,407,399,183 untuk tahun 2013.

“Daripada itu, sejumlah RM27 juta diperlukan oleh Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Perhubu-ngan, yang mana RM10 juta adalah bagi geran inkubasi kepada Lembaga Pelabuhan Tanjung Manis yang diluluskan kabinet pada Januari 2013,” kata Wong.

Sementara sebanyak RM17 juta lagi adalah untuk pelbagai projek kementerian seperti menaik taraf persimpangan Jalan Kubah Ria/Kampung Pinang Jawa (RM5 juta), Jalan Kualai Serupai/Kuala Tatau dan Jambatan merentasi Kuala Tatau, Kampung Seberang Bintulu (RM5 juta), penambahan kepada Jalan Casuarina (RM2 juta) dan Transit Bas Rapid ‘Blue Line’, survei, siasatan dan reka bentuk terperinci (RM5 juta).

Manakala sebanyak RM127,970,778 diperlukan oleh Kementerian Kemudahan Awam bagi pelaksanaan pelbagai projek bekalan air seluruh negeri seperti RM18,570,778 untuk pengeluaran Pinjaman Persekutuan kepada Lembaga Air Kuching dan Sibu.

“RM43.8 juta diperlukan untuk projek Penempatan Semula Bengoh bagi memenuhi keperluan sebenar pada 2013 dan RM46 juta diperlukan untuk pelaksanaan dua projek iaitu Pembangunan Sumber Air Mentah Simunjan (RM20 juta) dan Bekalan Air Sama-laju (RM26 juta) manakala RM19.6 juta adalah pampasan bagi Projek Skim Penempatan Semula Bakun,” kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Masyarakat itu.

Sejumlah RM6.36 juta pula diperlukan Kementerian Pembangunan Perindustrian bagi pelaksanaan projek kerajaan yang dibiayai menerusi Pinjaman Persekutuan dan RM37,671,496 diperlukan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk melaksanakan pelbagai projek di Pusat Pertumbuhan Desa Semop, Sundar Awat-Awat dan Beladin.

“Bagi Setiausaha Kewa-ngan Kerajaan Negeri, jumlah yang diperlukan adalah RM30,761,600 yang mana RM23,731,600 adalah sebagai ‘soft loan’ kepada Lembaga Pembangunan dan Lindu-ngan Tanah (LCDA) untuk mendapatkan tanah bagi pembangunan semula Jalan Haji Taha di Kuching.

“RM2 juta adalah untuk Kajian Pelan Induk Bako dan RM5 juta adalah untuk me-rancang serta mereka bentuk Jalan Lingkaran Dalaman serta kajian kebolehlaksanaan bagi Jalan Lingkaran Luar.

RM32 juta diperlukan oleh Kementerian Pembangunan Sosial bagi pembinaan Pusat Akuatik di Kompleks Sukan Negeri, Petra Jaya, Kuching dan RM2 juta diperlukan oleh Kementerian Pelancongan untuk melaksanakan projek Teksi Sungai di Sungai Sarawak.

Selain peruntukan tambahan perbelanjaan pembangunan 2013, turut diluluskan dalam Rang Undang-undang itu semalam, adalah perbelanjaan biasa bagi tahun 2012 iaitu sebanyak RM104,280,090.

“Anggaran tambahan ke-dua perbelanjaan biasa 2012 iaitu RM104,280,090 adalah bagi mendapatkan kebenaran bagi perbelanjaan tambahan yang ditanggung pelbagai kementerian dan jabatan pada tahun 2012.

“Bagi perbelanjaan pembangunan bagi tahun 2012 iaitu sebanyak RM39,888,542, adalah jumlah yang diperlukan untuk menampung perbelanjaan tambahan yang ditanggung oleh pelbagai kementerian dan jabatan pada tahun 2012,” tegas Wong.