Harga maksimum 11 barangan terkawal sempena Gawai

0

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menetapkan harga maksimum bagi 11 jenis barangan terkawal mengikut Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Gawai tahun ini.

Barangan terkawal berkenaan ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, ayam tua hidup, telur ayam gred A, telur ayam gred B, telur ayam gred C, daging lembu import, babi hidup (harga maksimum di peringkat ladang sahaja), daging babi bahagian perut serta daging babi bahagian daging dan lemak.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hasan Malek berkata ia berkuat kuasa mulai 27 Mei hingga 2 Jun di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatuan 2011.

“Harga maksimum ditentukan bagi 11 barangan harga terkawal di 32 daerah di Sarawak,” katanya menerusi satu kenyataan kelmarin.

Skim sempena Hari Gawai pada 1 dan 2 Jun itu diadakan agar pengguna dapat memperoleh barangan perlu pada musim perayaan pada harga berpatutan dan menyekat daripada peningkatan harga yang melampau.

Sehubungan itu, beliau turut mengingatkan para peniaga supaya sentiasa mengikut harga maksimum yang ditetapkan kerajaan dan meletakkan tanda harga berwarna merah jambu ke atas barangan harga terkawal selain menggalakkan peniaga menjual barangan tersebut lebih rendah daripada harga maksimum.

Katanya peniaga yang melakukan kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum yang ditetapkan boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

Sementara syarikat yang melakukan kesalahan sama boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

“Peniaga yang gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu pada barangan kawalan pula boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 manakala syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau kompaun sehingga RM10,000,” katanya.

Hasan berkata pegawai penguat kuasa dan pegawai pemantau harga kementerian akan berada di lokasi-lokasi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar pagi dan pasar tani untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan pengguna sentiasa dilindungi.

Katanya kementerian juga akan mendapatkan kerjasama daripada Skuad Pengguna, penghulu, ketua masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memantau dan menyebarkan maklumat mengenai skim ini bagi membantu memberi kesedaran kepada semua pihak.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan peniaga yang tidak mematuhi peraturan itu boleh membuat aduan kepada kementerian melalui e-mel di [email protected] atau hubungi talian bebas tol 1-800-886-800.

Pengguna juga boleh menghantar sistem pesanan ringkas ke 15888 dengan menaip KPDNKK ADUAN atau mengunjungi pejabat KPDNKK di seluruh Sarawak.