Wakil rakyat BN akan terus bekerja keras untuk rakyat

0

SELAMAT ULANG TAHUN: Harden (tengah), Chimbie (tiga kanan), Lagat (dua kanan), Wilson (kanan), Nelson (tiga kiri), Terance (dua kiri) bersama memotong kek Ulang Tahun ke-30 Taman Perumahan RPR Sri Aman.

SRI AMAN: Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) akan terus bekerja keras demi pembangunan rakyat, kata Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis.

Menurut beliau, segala pembohongan dan kata-kata fitnah dilemparkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab menguatkan lagi semangat wakil rakyat BN terus bekerja keras bagi memastikan rakyat sentiasa hidup senang.

“Sudah menjadi misi dan visi kerajaan BN untuk memastikan rakyat sentiasa menikmati pembangunan berterusan tanpa mengira bangsa, agama mahupun di kawasan bandar dan pedalaman,” katanya pada jamuan malam sempena Ulang Tahun Ke-30 Penubuhan Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Sri Aman di sini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata, rakyat perlu mengekalkan perpaduan dan juga kestabilan politik demi memastikan kita hidup dalam keadaan damai dan harmoni.

“Kini rakyat telah faham apakah yang dimaksudkan dengan perpaduan dan sebagai rakyat Malaysia, kita harus bersyukur kerana perpaduan yang wujud di negara ini cukup aman dan harmoni.

“Ini menyebabkan pelabur-pelabur luar tidak ragu-ragu untuk datang melabur di negara kita, ini kerana mereka ketahui Malaysia merupakan sebuah negara kaya dengan isu perpaduan kaum cukup kukuh,” jelasnya.

Dalam pada itu, rakyat harus berfikiran terbuka dan menyokong dasar-dasar pembangunan yang telah dan bakal dilaksanakan oleh kerajaan agar negeri ini tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.

Menurutnya, sokongan padu rakyat pelbagai parti komponen Barisan Nasional (BN) serta rakyat berbilang kaum amat diperlukan dalam memastikan pembangunan yang dirancang berjaya direalisasikan.

“Kerajaan amat memerlukan sokongan rakyat. Jika tiada kerjasama program-program pembangunan yang dirancang pasti sukar menjadi kenyataan,” katanya.

Hadir sama Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Simanggang, Patrick Micheal Dian, Father Chimbie Bunsi, Pengurus Dewan Suarah Sri Aman Nelson Jin Imam, Kaunselor Sawing Sumar, Tuai Rumah RPR Sri Aman, Tuai Rumah Wilson Lai, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) RPR Sri Aman, Terance Ajit, Pengerusi Pengelola Majlis, Subdeacon Lagat Langi serta ahli-ahli JKKK terbabit.

Pada majlis berkenaan, Harden turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM5,000 kepada JKKK berkenaan bagi menjalankan aktiviti mereka.