Anjur aktiviti sosial, sukan untuk golongan belia

0

MIRI: Jawatankuasa Penduduk (RC) di setiap zon kediaman di sini diminta aktif menganjurkan aktiviti sosial dan sukan untuk golongan belia.

Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin menyarankan agar RC menubuhkan jawatankuasa belia untuk menarik penyertaan mereka.

Menurutnya, penyertaan golongan berkenaan juga penting agar lebih ramai lapisan masyarakat terlibat dalam aktiviti anjuran RC.

“Kita mahu RC menganjurkan lebih banyak aktiviti sosial, rekreasi dan sukan khas untuk golongan belia.

“RC juga boleh mencadangkan aktivit-aktiviti belia kepada MBM (Majlis Bandaraya Miri),” katanya pada majlis makan malam amal meraikan Hari Ibu anjuran Persatuan Wanita Senadin, di sini malam kelmarin.

Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin berharap penyertaan semua lapisan masyarakat dalam RC membentuk kediaman mesra penduduk.

Beliau juga mahu aktiviti yang dirancang oleh RC dapat merapatkan kemesraan antara penduduk pelbagai kaum.

RC ditubuhkan oleh MBM di setiap zon kediaman di sini yang dipengerusikan oleh kaunselor dan turut dibantu oleh anggota polis.

“RC merupakan jambatan antara penduduk dan MBM.

“RC penting untuk membantu menyelesaikan masalah penduduk, contohnya aduan tentang sampah dengan bertindak menghubungi MBM,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau meminta setiap RC di sini rapat dengan MBM untuk memastikan peranannya lebih berkesan dan efektif.

Mengulas tentang persatuan itu, Lee mahu persatuan merekrut lebih ramai wanita khasnya dari kawasan Senadin untuk memeriahkan aktiviti yang dianjurkan.

Terdahulu, Pengerusi Persatuan Teresa Lerek memberitahu bahawa penubuhan persatuan adalah untuk menarik penglibatan wanita dan ahli RC sekali gus mengeratkan hubungan antara mereka menerusi aktiviti yang dianjurkan.

Katanya persatuan merancang menganjurkan pelbagai aktiviti untuk mengaktifkan penyertaan golongan wanita di Senadin termasuk aktiviti amal dan kebajikan.

“Menerusi aktiviti kemasyarakatan, kami mengadakan kunjungan kasih dan menghulurkan derma kepada mereka yang sakit dan orang kurang upaya.

“Kami turut menganjurkan aktiviti untuk golongan suri rumah seperti menyulam dan memasak, aktiviti kebudayaan seperti tarian, kesihatan senamrobik dan aktiviti alam sekitar,” jelas Teresa.

Majlis itu diserikan dengan pertandingan ibu anggun, persembahan tarian dan nyanyian karaoke.