Jualan ayam hidup laris menjelang Gawai

0

LARIS: Gerai menjual ayam mendapat kunjungan ramai pelanggan untuk mendapatkan bekalan ayam hidup.

SIBU: Kurang seminggu menjelang sambutan perayaan Hari Gawai Dayak, jualan ayam hidup berhampiran Terminal Bot Ekspres Sibu mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Semasa tinjauan dilakukan, hampir setiap minit gerai berkenaan didatangi pelanggan terutama mereka yang pulang bercuti.

Ayam hidup yang dijual dibungkus elok bagi memudahkan pelanggan membawanya pulang terutama mereka menggunakan pengangkutan bot ekspres.

Ini kerana pihak berkuasa melarang ayam-ayam berkenaan dibawa masuk ke kawasan tempat duduk penumpang.

Ia bertujuan untuk mengelakkan ayam tersebut mengeluarkan bau busuk dalam persekitaran tertutup.

Tidak cukup dengan itu, pihak berkuasa turut memberi perhatian terhadap kemasukan barangan lain di kawasan tempat duduk penumpang termasuk barang berat dan ia perlu diikat dengan sempurna di atas bumbung bot ekspres.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Daniel Ngieng ketika dihubung menasihati peniaga mematuhi standard kebersihan terutama mereka yang berniaga di tempat awam.

“Kami berharap ruang untuk menjalankan perniagaan ini berada dalam keadaan bersih setiap kali selesai berniaga.

“Hari terakhir bagi aktiviti tersebut ialah pada 31 Mei,” kata Ngieng sambil menambah gerai tersebut diwujudkan sempena sambutan Hari Gawai Dayak.

Sementara itu, jalan menuju ke terminal bot ekspres di sini mula sesak dan keadaan itu dijangka berterusan untuk beberapa hari lagi.

Terminal Bot Ekspres Sibu merupakan destinasi paling mencuri tumpuan setiap kali musim perayaan.

Ini kerana kebanyakan penduduk di kawasan wilayah tengah masih bergantung sepenuhnya dengan pengangkutan air.