‘Bandaraya Getah’ pikat generasi muda

0

ALOR SETAR: Hasrat kerajaan negeri untuk mewujudkan ‘Bandaraya Getah’ di Kota Putra, Padang Terap menerusi aku janji Barisan Nasional (BN) Kedah, dilihat mampu menarik minat gene-rasi muda menceburi sektor pertanian dan industri.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, Datuk Mohd Tajudin Abdullah berkata, pendekatan itu membolehkan generasi muda meneruskan usaha keluarga mereka melalui penggunaan teknologi tinggi sekali gus, membantu meningkatkan produktiviti getah negara.

Katanya golongan muda perlu memanfaatkan peluang tersebut memandangkan Kedah adalah penyumbang terbesar getah negara dan mempunyai keluasan 85,000 hektar kawasan getah.

“Generasi muda jangan le-paskan peluang ini dan sama-sama beri sokongan terhadap cadangan untuk tubuhkan Bandaraya Getah. Ia bukan sahaja dapat majukan negeri ini, malah turut majukan kawasan sekitar dan rakyat.

“Pelbagai industri huluan dan hiliran juga turut berkembang dan sekali gus menjadikan kawasan Bandaraya Getah maju seperi di Kulim Hi-Tech,” katanya kepada pemberita ketika pelancaran Kelab Generasi Muda RISDA (KGMR) Explore GAP Kedah, di Stesen Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Pokok Sena dekat sini semalam.

Tajudin berkata, walaupun projek itu di peringkat perbincangan, namun dengan sokongan rakyat dan agensi terlibat, hasrat kerajaan ne-geri untuk memajukan Kedah seiring dengan negeri lebih maju akan tercapai.

“Kita akan tunggu peng-umuman yang akan dibuat Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir nanti,” katanya.

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantik berkata, seramai 60 generasi muda RISDA terlibat dalam program KGMR Explore GAP Race anjuran RISDA itu.

Melalui program tersebut, generasi muda akan didorong supaya mewarisi pekerjaan keluarga sebagai pekebun kecil yang berilmu pengetahuan sekali gus mampu memperoleh pendapatan lumayan.

Dalam pertandingan itu, peserta akan dinilai melalui amalan pertanian baik dalam aspek penanaman anak pokok getah, pembajaan dan penggunaan racun perosak. — Bernama