IPDM akan buka peluang pengajian kepada pelajar Indochina

0

HANOI: Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad (IPDM), Universiti Utara Malaysia akan membuka peluang kepada pelajar dari Indochina untuk mengikuti pengajian peringkat pascasiswazah di institut itu.

Timbalan Pengarahnya Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, usaha itu akan dilakukan menerusi kerjasama IPDM dengan National Institute of Education Management (NIEM), Vietnam.

Program pascasiswazah yang akan ditawarkan adalah berbentuk penyelidikan dengan menjurus ke arah kepimpinan dan pembinaan negara bangsa, katanya selepas sesi taklimat mempromosikan peluang pengajian di IPDM, di sini pada Rabu.

Menurutnya, IPDM memilih melebarkan sayap di Indochina kerana rantau itu masih belum diteroka oleh institusi pengajian tinggi awam di Malaysia.

“Kajian telah dijalankan sebelum ini dan kami dapati kawasan ini mempunyai ramai pelajar yang ingin melanjutkan pengajian mereka di peringkat pascasiswazah. Justeru itu, IPDM mengambil peluang ini yang juga dilihat mampu menaikkan ranking universiti di peringkat antarabangsa,” katanya.

Ahmad Zaharuddin berkata, IPDM sebelum ini mempromosikan peluang pengajian itu di Thailand dan maklum balas yang diterima amat memberangsangkan.

IPDM akan memper-luaskan lagi promosi termasuk ke Indonesia, katanya. — Bernama