Lapan atlet OKU Sarawak ke Singapura

0

KIBAR CABARAN: Wong (tiga kanan), Andy (tiga kiri), jurulatih serta pegawai tHe Spring merakamkan kenangan dengan atlet Olimpik Khas semalam.

KUCHING: Lapan atlet orang kurang upaya (OKU) Sarawak akan mewakili Malaysia pada Sukan Kebangsaan Singapura Olimpik Khas Kelapan yang akan berlangsung dari 31 Mei hingga 4 Jun ini.

Mereka adalah sebahagian daripada 17 atlet yang dipilih dari seluruh Malaysia untuk menyertai kejohanan yang turut disertai beberapa negara ASEAN.

Enam atlet negeri adalah dari Olimpik Khas Sibu manakala dua lagi dari Kuching.

Ketua Kontinjen Wong En Ji berkata, ia merupakan kali pertama atlet Olimpik Khas Sibu menyertai kejohanan berprestij tersebut.

“Atlet kita akan diwakili oleh empat lelaki iaitu Aaron Ling Thai Yun, Raven Ngieng Zhi Jie, Albert Wong Siew Ying dan Ting Jin Ping.

Aaron dan Raven akan bersaing dalam acara renang manakala Albert dan Ting dalam acara boling.

“Manakala dua peserta wanita iaitu Ting Hui Nee dan Nursyafiqah Ellisa Suhaimi akan bertanding dalam acara bocce,” jelas Wong pada majlis meraikan kontinjen Olimpik Khas Sarawak di tHe Spring, semalam.

Katanya, kesemua atlet telah menjalani latihan serta persiapan untuk menyertai kejohanan itu.

“Rata-rata semua atlet begitu teruja dan gembira apabila mereka diberitahu akan mewakili Malaysia di kejohanan itu nanti.

Ini adalah pendedahan terbaik sekali gus menjadi pengalaman berguna kepada mereka kelak.

“Kita tidak meletakkan harapan terhadap mereka kerana yang penting kita mahu memberi mereka peluang bertanding di kejohanan peringkat tinggi.

“Selain itu kita mahu atlet mengetengahkan bakat yang ada agar mereka berasa dihargai dan diterima oleh masyarakat,” katanya.

Atlet Olimpik Khas Sibu akan disertai seramai tiga jurulatih dan berlepas petang semalam.

Sementara itu, Ketua Bahagian Pajakan tHe Spring Andy Song Chung Boon berkata pihak pengurusan sentiasa menyokong usaha atlet OKU negeri dalam bidang sukan.

“Ini merupakan salah satu dari tanggungjawab sosial korporat tHe Spring kepada masyarakat terutama terhadap OKU,” katanya.