Najib arah siasatan rapi

1

MAYAT PERTAMA: Anggota penyelamat membawa mayat mangsa tragedi bot ekspres karam di Belaga ke Poliklinik Belaga, semalam. 

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca tragedi bot ekspres karam di Tanjung Tukok Punyang Giam, Belaga pada Selasa lepas.

Beliau juga menyeru semua pengendali perkhidmatan feri supaya sentiasa bertanggungjawab terhadap aspek keselamatan bagi mengelak kejadian itu berulang. “Saya telah mengarahkan supaya satu siasatan terperinci mengenai tragedi itu dibuat dan saya seru kepada semua pengendali feri supaya sentiasa bertanggungjawab,” katanya dalam laman Facebook beliau, semalam.

Tujok Lah

Sambil melahirkan rasa sedih dengan tragedi tersebut, Perdana Menteri berkata seluruh rakyat Malaysia turut bersimpati dengan keluarga mangsa yang maut dalam kejadian itu. Menurutnya, rakyat Malaysia juga sentiasa mendoakan keselamatan semua pihak.

Najib turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi menyelamat mangsa tragedi itu. Dalam kejadian itu, bot ekspres Kawan Mas yang dipercayai membawa lebih 200 penumpang dalam perjalanan dari Bakun ke Kapit, karam selepas terlanggar batu di Jeram Tukok-Jeram Bungan antara 8.30 pagi dan 9 pagi.

Sementara itu di BELAGA, mayat seorang mangsa tragedi bot ekspres itu ditemui terapung berdekatan Uma Tevok oleh penduduk tempatan s ekitar jam 7 pagi semalam. Ketua Polis Daerah Belaga, DSP Bakar Sebau berkata, mangsa dikenal pasti sebagai Tujok Lah, 44, dari Rumah Seking, Nanga Merit, Kapit.

Katanya, setakat ini hanya satu laporan polis telah dibuat oleh sebuah syarikat swasta membabitkan orang yang hilang sejak tragedi i tu berlaku. “Salah seorang pekerja syarikat yang masih hilang dikenal pasti sebagai Moris Ajan,” ujarnya semalam. Setakat jam 10.20 pagi semalam, Bakar berkata, seramai 185 mangsa berjaya diselamatkan dan 12 yang lain masih hilang dan satu ditemui mati.

Usaha mencari dan menyelamat semalam dihentikan pada jam 6.20 petang semalam dan akan disambung semula pada jam 6.30 pagi ini.

Namun demikian, usaha untuk mengangkat bot ekspres itu ke permukaan air gagal buat kali kedua. Bakar turut mengingatkan pengguna sungai dan penduduk di sepanjang pinggir Sungai Rajang supaya mengambil langkah berjaga-jaga memandangkan air dari empangan hidroelektrik Bakun akan dilepaskan untuk menaikkan paras sungai.

Langkah itu, katanya, perlu untuk memudahkan kerja mengangkat bangkai bot ekspres itu dan memeriksa sama ada terdapat mayat yang terperangkap.

“Peningkatan jumlah air akan turut menjadikan arus semakin deras dan saya menasihati pengguna serta dan penduduk berhampiran sungai di kawasan ini supaya lebih berhati-hati,” katanya. Dalam perkembangan berkaitan, berkuat kuasa serta-merta hanya Ketua Polis Daerah Belaga DSP Bakar Sebau boleh mengeluarkan statistik jumlah mangsa yang terselamat dan masih hilang dalam tragedi bot ekspres itu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak SAC Datuk Law Hong Soon berkata Bakar yang bertindak sebagai ‘field commander’ untuk gerakan mencari dan menyelamat yang masuk hari ketiga semalam, lebih mengetahui situasi sebenar.

“Kita minta semua pihak jangan buat spekulasi sendiri, berapa selamat dan berapa hilang dalam tragedi itu. Selepas ini jangan terima apa-apa ‘statement’ (kenyataan) daripada mana-mana pihak lain kecuali KPD Belaga,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Law tidak menafikan kenyataan yang diterima bukan semua tidak tepat, sebaliknya langkah diambil hanya membenarkan KPD Belaga mengeluarkan kenyataan agar laporan yang dibuat selepas ini tidak terus bercanggah.

“Laporan senarai nama yang sering berubah-ubah adalah kerana nama mangsa hilang itu diperoleh melalui siasatan terhadap mangsa yang selamat. Jumlah mangsa yang hilang ini mungkin akan bertambah dan mungkin akan berkurang, itu semua bergantung kepada senarai yang akan terus diperoleh melalui laporan polis yang diterima,” kata-nya. —­ Bernama