RWMF 2013 bakal tampil kelainan

0

PERASMIAN: Abang Johari memotong reben sebagai simbolik pelepasan bas pengiklanan RWMF sambil disaksikan (dari kiri) Ik Pahon, Talib dan Rashid.

KUCHING: Festival Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2013 bakal menyaksikan kelainan dengan penganjuran Pameran Muzik Sedunia Borneo dari 24 hingga 26 Jun di sebuah hotel terkemuka di bandar raya ini.

Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, seramai 300 profesional dalam industri muzik seluruh dunia akan terlibat dengan pameran itu yang turut merangkumi konvensyen.

Menurutnya, profesional itu termasuk penyanyi, penyelidik muzik, dan pembuat peralatan muzik yang berkumpul untuk mengembangkan pembangunan muzik etnik.

“RWMF tahun ini memang berbeza kerana adanya Pameran Muzik Sedunia Borneo yang pertama kali diadakan di Asia.

“Ini merupakan usaha penting untuk perkembangan muzik tempatan kerana kita perlu input daripada profesional untuk menggembangkan RWMF,” katanya pada sidang media RWMF 2013 di Plaza Merdeka semalam.

Hadir sama Menteri Muda Pelancongan Datuk Talib Zulpilip, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan Datu Ik Pahon Joyik dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Datuk Rashid Khan.

Beliau berkata, pameran tersebut turut disertai universiti tempatan yang menyediakan kursus berkaitan pembangunan muzik.

“Kita (Sarawak) akan menjadi tumpuan dunia. Pada masa sama, pameran ini dapat meningkatkan kesedaran bakat muda untuk dikembangkan ke peringkat lebih tinggi (antarabangsa),” ujarnya.

Dalam pada itu, menurutnya, lebih daripada 22,000 penggemar muzik dijangka membanjiri Kampung Budaya Sarawak bagi menyaksikan RWMF dari 28 hingga 30 Jun.

“Pada tahun lepas kira-kira 20,000 pengunjung menyaksikan RWMF. Kita rasa tahun ini bilangan lebih tinggi kerana ada pameran muzik diadakan sebelum festival,” jelasnya.

Mengulas mengenai bilangan bilik hotel untuk RWMF, Abang Johari berkata, hotel sedia ada di bandar raya ini mencukupi untuk menampung bilangan pengunjung RWMF.