Sunday, July 5

RWMF raih ‘BrandLaureate Country Branding Award 2012-2013’

0

PENGIKTIRAFAN: Sijil dalam bentuk plak dan trofi emas 24 karat merupakan pengiktirafan kepada RWMF untuk ‘BrandLaureate Country Branding Award 2012-2013.’

KUCHING: Sarawak melakar sejarah tersendiri dalam penganjuran Festival Hutan Hujan Sedunia (RWMF) yang diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila menerima ‘BrandLaureate Country Branding Award 2012-2013.’

Anugerah yang disampaikan di Kuala Lumpur itu umpama ‘Anugerah Grammy’ untuk penjenamaan dan anugerah penjenamaan utama di Asia Pasifik yang disokong oleh Yang di-Pertuan Agung.

Kejayaan itu menyaksikan RWMF menerima trofi emas 24 karat.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Datuk Rashid Khan, pengiktirafan tersebut membuktikan RWMF berada pada kelas tersendiri dan berjaya menarik penggemar muzik dari serata dunia.

“Kita memang berbangga dengan kejayaan menerima anugerah ini dan ia menunjukkan festival muzik yang kita anjurkan sama tahap dengan acara muzik lain di dunia,” katanya pada sidang media semalam.

Tahun ini bakal menyaksikan 21 kumpulan muzik merangkumi 13 antarabangsa dan lapan Malaysia akan menyertai RWMF.

Antara kumpulan muzik yang mengesahkan penyertaan termasuk Rafly Wa Saja (Indonesia), Mohsen Sharifian & The Lian Band (Iran), Nunukul Yuggera (Australia), Habadekuk (Denmark), Dizu Plaatzies & The Ibuyambo Ensemble (Afrika Selatan), Spiritual Seasons (Ukraine), Pine Leaf Boys (Amerika Syarikat), Chet Nuneta (Perancis), Rey Vallenato Beto Jamaica (Colombia), Kries (Croatia), Kila (Ireland), Alp Bora (Austria) dan Palsandae (Korea).

Kumpulan muzik tempatan pula terdiri daripada Madeeh, Juk Wan Emang, Native Chanting, Maya Green, Rhythm in Bronze, Lan E Tuyang, Sarawak Drums dan Shangyin Chinese Chamber Music Ensemble.

Harga tiket harian untuk RWMF berharga RM120 untuk dewasa dan RM60 (kanak-kanak berusia tiga hingga 13 tahun) yang terdapat menerusi atas talian di www.ticketcharge.com.my.

Tiket tiga hari untuk dewasa berharga RM330 dan RM160 (kanak-kanak berusia tiga hingga 13 tahun).

Untuk keterangan lanjut, sila layari www.rwmf.net.