Monday, October 21

Sibu menjadi tumpuan sebelum pulang ke destinasi

0

JALANI TUGAS: Kelihatan dua penguat kuasa LSS sedang memeriksa tiket penumpang yang perlu dibuat pengesahan cop rasmi pihak LSS sebelum berlepas menaiki bot ekspres.

SIBU: Menjelang apa jua perayaan yang disambut oleh masyarakat majmuk di negeri ini pasti mengundang keadaan kesesakan yang sukar untuk diatasi gara-gara keghairahan untuk menyambutnya. Ini dapat dilihat pada sambutan Hari Gawai yang disambut pada setiap 1 Jun di Sarawak.

Pusat beli-belah, Sibu Central Market dan Terminal Penumpang Sibu (TPS) menjadi tumpuan utama masyarakat Dayak di negeri ini untuk membeli pelbagai keperluan untuk sambutan berkenaan sebelum pulang ke kampung halaman masing-masing.

Hasil tinjauan wartawan Utusan Borneo semalam melihat orang ramai masih bersesak terutamanya di sekitar kawasan TPS mahupun Sibu Central Market kerana bandar Sibu yang terletak di wilayah tengah Sarawak menjadi persinggahan terakhir sebelum sampai ke destinasi masing-masing.

Sambutan Hari Gawai diibaratkan sebagai satu pesta keramaian bagi masyarakat Dayak yang akan disambut sekali setahun yang pastinya mempunyai adat serta keunikan tradisi yang tersendiri.

Selain itu, musim perayaan menjadi lubuk mata pencarian berganda bagi pengusaha-pengusaha bot ekspres sehingga menyediakan perkhidmatan bot tambahan malah begitu juga halnya dengan pengusaha ayam tua, keperluan untuk upacara Gawai mahupun yang menjual perkakas muzik dan pakaian masyarakat Dayak.

Manakala keadaan TPS masih sesak dengan ribuan orang ramai yang akan pulang ke kampung halaman di Kanowit, Kuching, Song, Kapit mahupun Belaga yang dilihat terpaksa menunggu berjam-jam di kawasan khemah tambahan yang disediakan di kawasan parkir utama TPS.

TUMPUAN UTAMA: Sibu Central Market sentiasa menjadi tumpuan anggota masyarakat setiap kali menjelang perayaan.

Suasana begini akan berterusan sehingga tamat sambutan Gawai pada minggu hadapan yang bakal menyaksikan mereka berpusu-pusu kembali bertugas selepas bercuti di kampung masing-masing.