Butiran palsu: Empat pegawai YPM diperintah bela diri

0

KUALA LUMPUR: Empat pegawai Yayasan Pelajaran MARA (YPM) masing-masing diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini semalamterhadap pertuduhan mengemukakan butiran palsu berhubung pembayaran tiket kapal terbang, tiga tahun lepas.

Hakim Zamzani Mohd Zain membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Noraidah Johar, 43; MuhammadSuhaimi Ismail, 44; Zolkefli Mohd Ali, 48; dan Nurmawati Redzwan, 46, di akhirkes pendakwaan.

Beliau kemudian menetapkan 3 Julai ini untuk kesemua tertuduh yang akan memberi keterangan secara bersumpah.

Pihak pembelaan yang diketuai peguam Azrul Z. Stork akan mengemukakan tujuh saksi termasuk kesemua anak guamnya.

Noraidah merupakan Pengurus Unit Penyelaras YPM-Dana Pinjaman Pendidikan Tinggi (DPPT), Muhammad Suhaimi adalah Penolong Pengurus Kewangan, Unit Dana Pinjaman Pendidikan Tinggi III dan Zolkefli adalah Penolong Pengurus Pentadbiran dan Perjawatan, manakala Nurmawati pula Penolong Pengurus Hal Ehwal Pelajar dan Akademik.

Kesemua tertuduh didakwa menggunakan dua dokumen yang mengandungi butiran palsu iaitu Ringkasan Borang Tuntutan Perbelanjaan/Penyelesaian PendahuluanLawatan Rasmi Bulan April 2010 dan Resit Rasmi Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd tanpa tarikh berjumlah RM12,125.

Mereka didakwa mengesahkan dan mengaku membayar RM12,125 bagi tiket kapal terbang kelas perniagaan pergi-balik ke Jepun yang mana jumlah sebenar adalahRM3,500 iaitu kelas ekonomi.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Kewangan, Unit Dana Pinjaman Pendidikan Tinggi, Yayasan Pelajaran MARA, antara 18 Mei 2010 dan 3 Jun 2010, mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (2) akta sama, jika sabit kesalahan.

Sepanjang prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Firdaus Abu Hanipah mengemukakan 15 saksi. — Bernama