Gawai platform terbaik lupakan sengketa, kukuhkan perpaduan: Nansian

0

KUCHING: Hari Gawai Dayak merupakan platform terbaik bagi rakyat Malay­sia melupakan persengket­aan dan perbezaan fahaman politik untuk menguku­hkan perpaduan sekali gus mengekalkan keharmonian dan kestabilan negara.

Menteri Muda Khidmat Masyarakat Datuk Peter Nansian Ngusie berkata, selepas menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), sambutan ini merupakan peluang terbaik untuk semua masyarakat berbilang kaum di negara ini merapatkan semula jalinan silaturahim dan bek­erjasama bagi mengekalkan keamanan dan perpaduan.

“Datanglah dan kunjungi­lah antara satu sama lain bagi merapatkan hubungan sesama kita agar perpaduan dan keamanan dapat dikeka­lkan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Bandar Baharu Batu Kawa di sini, semalam.

Dengan kehadiran Gawai Dayak ini, Nansian berkata, kesemua komuniti Dayak di negeri ini mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang memperuntukkan ta­rikh tetap (cuti umum) untuk masyarakat itu meraikan hari istimewa tersebut.

“Di Malaysia, kita amat bertuah kerana mempunyai sebuah kerajaan yang priha­tin tentang adat dan budaya masyarakat yang tinggal di negara ini termasuklah komu­niti Dayak di Sarawak.

“Di sinilah (Malaysia) masyarakat berbilang bangsa dapat meraikan pelbagai sambutan perayaan bersama dalam keadaan bersatu dan menghormati budaya satu sama lain,” tambahnya lagi.

Pada masa sama, beliau memberitahu sambutan Ga­wai pada tahun ini lebih bermakna kerana rakyat akan menikmati cuti umum selama empat hari untuk meraikan perayaan itu bermula 1 dan 2 Jun.

“Sebagai pemimpin masyar­akat Dayak, saya juga ingin menyampaikan pesanan ke­pada mereka yang meraikan Gawai dan seluruh rakyat Ma­laysia untuk bersama-sama meraikan perayaan ini bagi mengekalkan perpaduan dan keharmonian kita,” ujarnya.